CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday 29 August 2012

Isu Keguruan 2 : Langkah Sediakan Guru Pembantu Mampu Tingkat Prestasi Pelajar

1.0         1.0 PENGENALAN

Isu keguruan sememangnya tidak pernah surut dibincang dan diperkatakan. Sehubungan dengan itu, ramai individu baik daripada golongan warga pendidik sendiri, ibu bapa, pihak kementerian dan tidak kurang juga golongan pemimpin tampil untuk mengupas dan membincangkan isu keguruan yang timbul bagaikan tidak pernah surut. Lihat sahaja di dada-dada akhbar, kaca televisyen, internet dan sebagainya terdapat pelbagai isu yang berkaitan dengan bidang keguruan. Pada penguhujung tahun 2011, isu atau masalah beban tugas guru kembali hangat diperkatakan. Akibat beban tugas yang banyak ini, Kementerian Pelajaran Malaysia bertindak mahu memperkenalkan sistem kerja sembilan jam untuk guru mulai tahun 2012.

Cadangan pihak Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan sistem kerja sembilan jam ini telah mendapat perhatian yang hangat daripada ramai pihak dan warga pendidik. Akibat daripada ini, wujudnya perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Shaari Ismail di dalam Berita Harian Online (15 November 2011) agar diwujudkan penempatan guru pembantu terlebih dahulu di sekolah-sekolah percubaan sebelum sistem kerja sembilan jam ini dilaksanakan. Namun demikian, Berita Harian Online (19 November 2011) membuat laporan bahawa Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2012.

Ketika isu beban tugas  guru dan sistem kerja sembilan jam sedang hangat dibincangkan, timbulnya tuntutan yang dikemukakan oleh pelbagai kesatuan dan pertubuhan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) agar mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan guru pembantu atau guru kedua di sekolah.

Sebenarnya, isu atau cadangan untuk mewujudkan guru pembantu atau guru kedua sudah lama dibincangkan. Hal ini adalah berdasarkan laporan Lum Chee Hong di dalam Berita Harian Online (14 Disember 2010) yang memetik kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng tentang kewujudakan guru pembantu dapat mengurangkan beban tugas guru di samping membantu tugas perkeranian serta pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi. Tambahan pula, menurut beliau lagi tugas guru pembantu ini boleh berperanan membantu murid yang menghadapi masalah seperti sakit atau demam ketika berada di dalam kelas.


2.0         2.0 PERKEMBANGAN HUJAH

            Merujuk kepada artikel yang bertajuk ‘Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar’ menerusi laman Berita Harian Online yang bertarikh 14 Disember 2012, bebanan tugas guru yang berlebihan dikatakan bukan sahaja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain daripada itu, guru juga perlu terlibat dengan pelbagai jenis kursus di samping terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Menurut laporan akhbar online tersebut lagi, kesemua kerja yang terpaksa dilakukan oleh guru ini membantutkan usaha golongan ini untuk memberi sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

            Sehubungan dengan itu, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyidin Yassin mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja yang berlebihan. Melalui hasil mesyuarat dan perbincangan dengan pihak guru dan pengetua serta lawatan ke sekolah, Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 telah mengemukan cadangan supaya menempatkan guru pembantu di dalam kelas yang melebihi 35 orang murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah. Usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian ini membuktikan bahawa isu guru ini tidak dipandang ringan sahaja, bahkan sedaya upaya pihak kerjaaan cuba untuk tidak mengabaikan kebajikan guru dan menangani setiap masalah yang timbul dengan segera.
            Isu yang ingin dibincangkan di sini bukan memberi fokus kepada bebanan tugas guru yang berlebihan, tetapi isu yang ingin diketengahkan adalah bagaimana guru pembantu dapat meningkatkan prestasi pelajar. Menerusi pembacaan ke atas artikel di dalam Berita Harian Online (14 Disember 2012), dengan adanya guru pembantu maka akan berkurangnya beban kerja guru. Hal ini secara tidak langsung, dapat memberi peluang kepada guru-guru untuk memberikan komitmen dan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar. Pada masa kini, suasana pengajaran dan pembelajaran serta kualiti pengajaran guru kian dipersoal dan diutarakan sebagai punca kemerosotan pretasi pelajar (Noriati A. Rashid et. al, 2010). Oleh hal yang demikian, cadangan untuk mewujudkan jawatan guru pembantu mungkin akan menjadi salah satu pemangkin terhadap peningkatan prestasi pelajar memandangkan tugas dan beban guru dapat diringankan dan secara tidak langsung prestasi kerja dan pengajaran guru dapat ditingkatkan.

Terdapat ramai pihak yang menyokong cadangan untuk mewujudkan guru pembantu, baik daripada golongan pendidik sendiri mahupun pakar dalam bidang pendidikan. Kenyataan seorang pakar pendidikan daripada Sarah Fields, Prof. Peter Farrel yang juga merupakan mantan presiden Persatuan Psikologi Sekolah Antarabangsa di dalam wawancaranya mengenai hak kanak-kanak juga ada menyebut tentang perlunya guru pembantu ini diwujudkan di sekolah-sekolah di Malaysia (UKM News Portal Online, 13 Oktober 2011). Kenyataan beliau lagi, bilangan murid di Malaysia yang mencecah antara 40 hingga 50 orang murid amat memerlukan seorang guru pembantu. Sebagaimana yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin mengenai cadangan untuk mewujudkan guru pembantu bagi kelas yang mempunyai bilangan murid melebih 35 hingga 40 orang, Prof. Peter Farrel menjelaskan tentang bilangan murid di Britain yang hanya seramai 20 orang juga ada disediakan pembantu guru.

            Jika dilihat pada solusinya, kewujudan guru pembantu ini adalah bertujuan meringan beban guru, tetapi kesan jangka panjang yang akan terhasil melalui usaha mewujudkan guru pembantu ini akan membawa kepada peningkatan di dalam prestasi pelajar. Bagaimana ianya berlaku, hal ini boleh dilihat melalui beban tugas guru yang semakin berkurang, sudah tentunya memberi ruang dan peluang kepada para guru untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki mereka, iaitu mengajar. Apa yang kita ingin melalui usaha ini adalah guru-guru akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran yang selayaknya diperoleh oleh seorang pelajar daripada seorang guru.

            Kenyataan ini disokong oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Tan Sri Abdul Rafie Mahat sebagaimana dilaporkan oleh Syuhada Coo Abdullah (Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian) melalui kenyataan beliau bahawa dengan adanya pembantu guru ini, guru akan dapat memberikan lebih tumpuan kepada aktiviti pembelajaran pelajar dan perkembangan pedagogi mereka. Tambah Abdul Rafie lagi, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran melihat cadangan untuk mewujudkan guru pembantu adalah sangat wajar dan boleh dimanfaatkan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

            Jika diperhatikan di negara-negara lain, nisbah bilangan guru dan murid adalah antara 10 hingga 17 orang murid bagi seorang guru, berbanding Malaysia, Thailand dan Indonesia yang melebihi 30 orang murid bagi seorang guru (Berita Harian Online, 14 Disember 2010). Bahkan, negara Britain yang bilangan muridnya seramai 20 orang juga menyediakan guru pembantu. Sehubungan dengan itu, isu untuk mewujudkan guru pembantu di sekolah dilihat sebagai sesuatu yang sangat rasional, bukan untuk membanding-bandingkan dengan sistem pendidikan negara yang lain, jauh sekali bertujuan melepaskan tanggungjawab lain selain daripada mengajar, tetapi lebih kepada memenuhi tuntutan dan matlamat utama pendidikan itu sendiri.

            Hal ini dilihat bertepatan juga dengan pendapat tokoh akdemik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang menekankan keutamaan matlamat dasar pendidikan dengan mengenepikan kemungkinan pembabitan kos yang tinggi sekiranya jawatan guru pembantu dilaksanakan. Menurut beliau lagi, kerajaan perlu melihatnya sebagai satu pelaburan dalam usaha melahirkan guru-guru yang efisyen dan memberi fokus kepada tanggungjawab mendidik pelajar yang menjadi matlamat utama pendidikan (Berita Harian Online, 2 April 2010). Bertepatan dengan laporan artikel ‘Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar’ (Berita Harian Online 14 Disember 2012), tokoh akademik ini menambah bahawa sekiranya guru pembantu diwujudkan, iainya bukan sahaja dapat membantu dari segi kerja perkeranian, malah dalam bidang pengajaran juga termasuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar lemah.

Seandainya cadangan untuk mewujudkan guru pembantu ini diluluskan pihak kerajaan, guru janganlah bersikap melepas tangan sahaja segala tugas kepada guru pembantu sekalipun guru pembantu boleh membantu untuk memberi tunjuka ajar kepada pelajar yang lemah. Sebagaimana nasihat Prof. Farrel (UKM News Portal Online, 13 Oktober 2011) agar guru-guru bekerjasama dengan pembantu mereka dan tidak hanya menyerahkan murid yang lemah kepada pembantu mereka, kemudian mengenepikan golongan murid yang lemah ini. Tambah beliau lagi, guru seharusnya diajar cara bagaimana bekerja dengan pembantu guru.

            Sehubungan dengan itu, hal ini dilihat sebagai sesuatu yang sangat positif memandangkan adanya pihak tambahan (guru pembantu) yang akan memberi fokus dan bantuan kepada pelajar yang lemah prestasi akademiknya. Sebagai contoh, guru pembantu akan bertindak memantau pelajar yang lemah sementara guru boleh memberi perhatian kepada murid lain di dalam kelas. Sebagaimana yang berlaku di dalam sistem pendidikan prasekolah yang juga mempunyai pembantu (Pembantu Pengurusan Murid), hal ini dilihat dapat meringankan kerja guru memandangkan pembantu juga boleh melibatkan diri di dalam akademik murid dan bukan hanya memberi fokus terhadap kerja-kerja perkeranian semata-mata. Melalui pendekatan inilah, prestasi murid dapat dipertingkatkan.

            Kenyataan ini disokong oleh Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad dengan kenyataannya bahawa pelaksanaan dua guru di dalam satu kelas dapat memberi faedah kepada murid kerana mudah untuk mengawasi mereka. Menurut beliau lagi, guru boleh memberi tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, manakala guru pembantu berperanan memastikan proses berkenaan berjalan lancar di dalam bilik darjah (Berita Harian Online, 14 Disember 2010).
           
           
3.0         3.0 IMPLIKASI

Secara umumnya, tugas guru pembantu adalah bukan untuk mengambil alih tugas guru untuk melaksanakan pengajaran, akan tetapi ianya lebih kepada membantu melaksanakan tugas-tugas perkeranian sebagaimana yang disebut oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng supaya menilai semula cadangan ini demi mengelakkan tugas guru dan guru pembantu bertindih, sebagai contoh tugas guru pembantu adalah lebih tertumpu kepada tugas perkeranian dan pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi (Berita Harian Online, 14 Disember 2010).

Mungkin terdapat persoalan yang timbul, bagaimana guru pembantu dapat meningkatkan prestasi pelajar sedangkan tugas guru pembantu bukan mengajar secara langsung seperti tugas guru sedia ada. Jawapan kepada persoalan yang timbul adalah terletak kepada tugas hakiki guru. Seperti yang telah tersedia maklum, tugas guru adalah untuk mengajar atau dengan kata lain, mendidik murid dan pelajar agar menjadi insan yang berguna ke arah memperkembangkan potensi individu secara holistik. Jika merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Empat, perkataan holistik adalah bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai sesuatu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja. Di sini dapat disimpulkan bahawa perkembangan secara holistik sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan adalah bukan merujuk kepada prestasi akademik semata-mata.

Jika dinilai tugas guru pembantu adalah hanya berfokus kepada tugas perkeranian, maka sudah tentu guru pembantu dikatakan tidak dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar. Akan tetapi sekiranya dilihat dari aspek yang berbeza, guru pembantu sebenarnya merupakan suatu medan untuk membantu kerja guru. Sebagai contoh, dari segi aspek kawalan disiplin murid, membantu dalam penyediaan bahan bantu mengajar dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan motivasi guru untuk lebih memperbaiki teknik dan kemahiran mengajar sedia ada dengan adanya bantuan daripada guru pembantu atau guru kedua ini.

Sebagai contoh, jika sebelum ini guru hanya mampu menyediakan kad imbasan sebagai bahan bantu mengajar, tetapi dengan adanya pembantu, sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif. Kemungkinan, guru boleh membawa murid ke luar bilik darjah untuk pembelajaran berbentuk hands on. Di sinilah, tugas guru pembantu dilihat penting iaitu untuk membantu kawalan disiplin murid yang ramai iaitu hampir 40 hingga 50 orang murid. Melihat kepada perkara inilah, perkembangan murid secara holistik dapat dikembangkan dan tidak hanya menyediakan pembelajaran secara spoon feeding kepada murid. Seharusnya, pada peringkat awal ini perkembangan kognitif murid perlu dijana.

Walaupun cadangan untuk mewujudkan guru pembantu ini dilihat membawa banyak kebaikan, khususnya memberi impak yang baik kepada murid dan pelajar, namun demikian para guru seharusnya sentiasa beringat dan sedar, gunakan peluang ini semaksimum mungkin. Seandainya cadangan untuk mewujudkan guru pembantu ini dilaksanakan, para pendidik janganlah bersikap seperti acuh tidak acuh sahaja dalam menjalankan tanggungjawab untuk mendidik pelajar. Seharusnya, guru perlu kembali kepada matlamat sebenar pendidikan iaitu tugas mendidik sebagaimana yang diperkatakan oleh  Prof. Datuk Dr Zainal Kling yang menekankan tujuan utama sistem pendidikan adalah mendidik pelajar terutamanya pada peringkat sekolah rendah, sementara perkara lain mungkin boleh dimulakan di sekolah menengah (Berita Harian Online, 2 April 2010).

Tidak dinafikan, tugas Kementerian Pelajaran sangat berat untuk memberikan kata putus tentang cadangan mewujudkan guru pembantu di sekolah. Kajian demi kajian perlu dijalankan untuk mengenalpasti keperluan jawatan tersebut dengan mengambil kira pelbagai implikasi, termasuk dari segi kewangan yang sudah pastinya memerlukan peruntukan yang besar daripada pihak kerajaan. Negara memerlukan kos yang lebih tinggi untuk sistem pendidikan bagi memutuskan bentuk pelaburan pendidikan yang boleh membawa pulangan yang maksimum (Berita Harian Online, 4 Mei 2010).

Jawatan guru pembantu ini diharapkan agar dapat meringan beban tugas guru di sekolah sebagaimana laporan Ridzuan Yeop di dalam laman Berita Harian Online (13 Mei 2010) yang memetik kenyataan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan mengenai jawatan pembantu guru perlu diwujudkan bagi membantu guru yang turut melaksanakan tugas pentadbiran dan menjadi antara punca utama beban guru bertambah. Kenyataan beliau disokong oleh Presiden Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru termasuk perlu bertugas pada hari Sabtu. Ulas Mohamad Ali lagi, jika beban guru dikurangkan, mereka boleh menumpukan perhatian terhadap tugas hakiki atau tugas sebenar guru iaitu pengajaran dan pembelajaran selain meningkatkan soal disiplin dan keselamatan anak di sekolah. Secara tuntasnya, kewujudan guru pembantu ini secara tidak langsung dapat meringankan beban tugas guru di sekolah.


4.0         4.0 RUMUSAN DAN CADANGAN

Cadangan untuk mewujudkan jawatan guru pembantu atau guru kedua di sekolah sememangnya bukan sesuatu perkara mudah yang boleh diputuskan dalam tempoh masa yang singkat, akan tetapi memerlukan pertimbangan yang sangat teliti dengan mengambil kira semua aspek yang berkait dengan sistem pendidikan seperti kurikulum, kewangan, sumber manusia, organisasi sekolah, keperluan pendidikan semasa dan sebagainya. Menurut ulasan pihak Kementerian Pelajaran bahawasanya, adalah memerlukan pertimbangan wajar sebelum membuat sebarang keputusan. Hal ini demikian, kejayaan pendidikan bukan hanya dengan menambah sumber tenaga pendidik, sebaliknya memerlukan peningkatan produktiviti dan daya saing negara (Berita Harian Online, 4 Mei 2010).

            Di dalam usaha untuk merealisasikan jawatan guru pembantu di sekolah, sebuah kurikulum perlu dirangka dalam konteks berkaitan guru pembantu dengan mengadakan latihan perguruan untuk guru pembantu. Sebagaimana kenyataan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Arsad, guru pembantu perlu memiliki kelayakan Kursus Khas Perguruan, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pendidikan atau mengambil mereka daripada kalangan guru sandaran tak terlatih (GSTT) bagi memenuhi keperluan terbabit (Berita Harian Online, 14 Disember 2010).

            Namun demikian, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil sumber manusia secara tergesa-gesa tanpa meneliti terlebih dahulu keperluan tuntutan pendidikan. Perancangan dan pelaksanaan yang teliti perlu untuk menghasilkan modal insan yang setaraf dengan negara lain di dunia. Melihatkan kepada solusi yang semakin menemukan jalannya, adalah sangat baik sekiranya pihak kementerian mengkaji dan meneliti Skim Perkhidmatan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) prasekolah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Nilai semula skim perkhidmatan tersebut sebelum mewujudkan satu lagi skim perkhidmatan baru berkaitan dengan guru pembantu. Beberapa aspek seperti kelayakan, bidang tugas, pelarasan gaji dan sebagainya.

            Hal tersebut demikian bertujuan untuk melaksanakan penambahbaikan sekiranya skim perkhidmatan baru, iaitu guru pembantu ingin diwujudkan berdasarkan acuan sedia ada. Secara tidak langsung, hal ini akan memberikan gambaran awal tentang cara pelaksanaan guru pembantu. Di samping itu, wujudkan program latihan praperkhidmatan atau latihan asas sebelum kakitangan atau guru pembantu tersebut memulakan tugas. Perkara ini bertujuan mengelakkan timbulnya kejutan budaya terhadap bidang atau kerja yang dilakukan. Walaubagaimanapun, apa yang menjadi keutamaan adalah guru pembantu perlu bersama-sama membantu dan bertindak wajar dalam mengurus organisasi.

            Tuntasnya, cadangan untuk mewujudkan jawatan pembantu guru ini dilihat sebagai sesuatu yang sangat relevan, dan bersesuaian dengan sistem dan keperluan pendidikan masa kini. Di dalam menyahut seruan pihak kerajaan untuk melahirkan generasi yang merupakan  tunjang utama kejayaan negara, guru-guru tidak seharusnya dibebankan dengan tugas-tugas lain secara berlebihan yang boleh membantutkan tugas hakiki guru sebagai pengajar dan pendidik. Oleh hal yang demikian, tugas guru pembantu ini diharapkan agar dapat mengurangkan beban tugas guru dan secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan prestasi murid.

0 comments: