CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday 29 August 2012

Isu Keguruan 2 : Langkah Sediakan Guru Pembantu Mampu Tingkat Prestasi Pelajar

1.0         1.0 PENGENALAN

Isu keguruan sememangnya tidak pernah surut dibincang dan diperkatakan. Sehubungan dengan itu, ramai individu baik daripada golongan warga pendidik sendiri, ibu bapa, pihak kementerian dan tidak kurang juga golongan pemimpin tampil untuk mengupas dan membincangkan isu keguruan yang timbul bagaikan tidak pernah surut. Lihat sahaja di dada-dada akhbar, kaca televisyen, internet dan sebagainya terdapat pelbagai isu yang berkaitan dengan bidang keguruan. Pada penguhujung tahun 2011, isu atau masalah beban tugas guru kembali hangat diperkatakan. Akibat beban tugas yang banyak ini, Kementerian Pelajaran Malaysia bertindak mahu memperkenalkan sistem kerja sembilan jam untuk guru mulai tahun 2012.

Cadangan pihak Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan sistem kerja sembilan jam ini telah mendapat perhatian yang hangat daripada ramai pihak dan warga pendidik. Akibat daripada ini, wujudnya perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Shaari Ismail di dalam Berita Harian Online (15 November 2011) agar diwujudkan penempatan guru pembantu terlebih dahulu di sekolah-sekolah percubaan sebelum sistem kerja sembilan jam ini dilaksanakan. Namun demikian, Berita Harian Online (19 November 2011) membuat laporan bahawa Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2012.

Ketika isu beban tugas  guru dan sistem kerja sembilan jam sedang hangat dibincangkan, timbulnya tuntutan yang dikemukakan oleh pelbagai kesatuan dan pertubuhan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) agar mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan guru pembantu atau guru kedua di sekolah.

Sebenarnya, isu atau cadangan untuk mewujudkan guru pembantu atau guru kedua sudah lama dibincangkan. Hal ini adalah berdasarkan laporan Lum Chee Hong di dalam Berita Harian Online (14 Disember 2010) yang memetik kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng tentang kewujudakan guru pembantu dapat mengurangkan beban tugas guru di samping membantu tugas perkeranian serta pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi. Tambahan pula, menurut beliau lagi tugas guru pembantu ini boleh berperanan membantu murid yang menghadapi masalah seperti sakit atau demam ketika berada di dalam kelas.


2.0         2.0 PERKEMBANGAN HUJAH

            Merujuk kepada artikel yang bertajuk ‘Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar’ menerusi laman Berita Harian Online yang bertarikh 14 Disember 2012, bebanan tugas guru yang berlebihan dikatakan bukan sahaja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain daripada itu, guru juga perlu terlibat dengan pelbagai jenis kursus di samping terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Menurut laporan akhbar online tersebut lagi, kesemua kerja yang terpaksa dilakukan oleh guru ini membantutkan usaha golongan ini untuk memberi sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

            Sehubungan dengan itu, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyidin Yassin mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja yang berlebihan. Melalui hasil mesyuarat dan perbincangan dengan pihak guru dan pengetua serta lawatan ke sekolah, Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 telah mengemukan cadangan supaya menempatkan guru pembantu di dalam kelas yang melebihi 35 orang murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah. Usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian ini membuktikan bahawa isu guru ini tidak dipandang ringan sahaja, bahkan sedaya upaya pihak kerjaaan cuba untuk tidak mengabaikan kebajikan guru dan menangani setiap masalah yang timbul dengan segera.
            Isu yang ingin dibincangkan di sini bukan memberi fokus kepada bebanan tugas guru yang berlebihan, tetapi isu yang ingin diketengahkan adalah bagaimana guru pembantu dapat meningkatkan prestasi pelajar. Menerusi pembacaan ke atas artikel di dalam Berita Harian Online (14 Disember 2012), dengan adanya guru pembantu maka akan berkurangnya beban kerja guru. Hal ini secara tidak langsung, dapat memberi peluang kepada guru-guru untuk memberikan komitmen dan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar. Pada masa kini, suasana pengajaran dan pembelajaran serta kualiti pengajaran guru kian dipersoal dan diutarakan sebagai punca kemerosotan pretasi pelajar (Noriati A. Rashid et. al, 2010). Oleh hal yang demikian, cadangan untuk mewujudkan jawatan guru pembantu mungkin akan menjadi salah satu pemangkin terhadap peningkatan prestasi pelajar memandangkan tugas dan beban guru dapat diringankan dan secara tidak langsung prestasi kerja dan pengajaran guru dapat ditingkatkan.

Terdapat ramai pihak yang menyokong cadangan untuk mewujudkan guru pembantu, baik daripada golongan pendidik sendiri mahupun pakar dalam bidang pendidikan. Kenyataan seorang pakar pendidikan daripada Sarah Fields, Prof. Peter Farrel yang juga merupakan mantan presiden Persatuan Psikologi Sekolah Antarabangsa di dalam wawancaranya mengenai hak kanak-kanak juga ada menyebut tentang perlunya guru pembantu ini diwujudkan di sekolah-sekolah di Malaysia (UKM News Portal Online, 13 Oktober 2011). Kenyataan beliau lagi, bilangan murid di Malaysia yang mencecah antara 40 hingga 50 orang murid amat memerlukan seorang guru pembantu. Sebagaimana yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin mengenai cadangan untuk mewujudkan guru pembantu bagi kelas yang mempunyai bilangan murid melebih 35 hingga 40 orang, Prof. Peter Farrel menjelaskan tentang bilangan murid di Britain yang hanya seramai 20 orang juga ada disediakan pembantu guru.

            Jika dilihat pada solusinya, kewujudan guru pembantu ini adalah bertujuan meringan beban guru, tetapi kesan jangka panjang yang akan terhasil melalui usaha mewujudkan guru pembantu ini akan membawa kepada peningkatan di dalam prestasi pelajar. Bagaimana ianya berlaku, hal ini boleh dilihat melalui beban tugas guru yang semakin berkurang, sudah tentunya memberi ruang dan peluang kepada para guru untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki mereka, iaitu mengajar. Apa yang kita ingin melalui usaha ini adalah guru-guru akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran yang selayaknya diperoleh oleh seorang pelajar daripada seorang guru.

            Kenyataan ini disokong oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Tan Sri Abdul Rafie Mahat sebagaimana dilaporkan oleh Syuhada Coo Abdullah (Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian) melalui kenyataan beliau bahawa dengan adanya pembantu guru ini, guru akan dapat memberikan lebih tumpuan kepada aktiviti pembelajaran pelajar dan perkembangan pedagogi mereka. Tambah Abdul Rafie lagi, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran melihat cadangan untuk mewujudkan guru pembantu adalah sangat wajar dan boleh dimanfaatkan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

            Jika diperhatikan di negara-negara lain, nisbah bilangan guru dan murid adalah antara 10 hingga 17 orang murid bagi seorang guru, berbanding Malaysia, Thailand dan Indonesia yang melebihi 30 orang murid bagi seorang guru (Berita Harian Online, 14 Disember 2010). Bahkan, negara Britain yang bilangan muridnya seramai 20 orang juga menyediakan guru pembantu. Sehubungan dengan itu, isu untuk mewujudkan guru pembantu di sekolah dilihat sebagai sesuatu yang sangat rasional, bukan untuk membanding-bandingkan dengan sistem pendidikan negara yang lain, jauh sekali bertujuan melepaskan tanggungjawab lain selain daripada mengajar, tetapi lebih kepada memenuhi tuntutan dan matlamat utama pendidikan itu sendiri.

            Hal ini dilihat bertepatan juga dengan pendapat tokoh akdemik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang menekankan keutamaan matlamat dasar pendidikan dengan mengenepikan kemungkinan pembabitan kos yang tinggi sekiranya jawatan guru pembantu dilaksanakan. Menurut beliau lagi, kerajaan perlu melihatnya sebagai satu pelaburan dalam usaha melahirkan guru-guru yang efisyen dan memberi fokus kepada tanggungjawab mendidik pelajar yang menjadi matlamat utama pendidikan (Berita Harian Online, 2 April 2010). Bertepatan dengan laporan artikel ‘Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar’ (Berita Harian Online 14 Disember 2012), tokoh akademik ini menambah bahawa sekiranya guru pembantu diwujudkan, iainya bukan sahaja dapat membantu dari segi kerja perkeranian, malah dalam bidang pengajaran juga termasuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar lemah.

Seandainya cadangan untuk mewujudkan guru pembantu ini diluluskan pihak kerajaan, guru janganlah bersikap melepas tangan sahaja segala tugas kepada guru pembantu sekalipun guru pembantu boleh membantu untuk memberi tunjuka ajar kepada pelajar yang lemah. Sebagaimana nasihat Prof. Farrel (UKM News Portal Online, 13 Oktober 2011) agar guru-guru bekerjasama dengan pembantu mereka dan tidak hanya menyerahkan murid yang lemah kepada pembantu mereka, kemudian mengenepikan golongan murid yang lemah ini. Tambah beliau lagi, guru seharusnya diajar cara bagaimana bekerja dengan pembantu guru.

            Sehubungan dengan itu, hal ini dilihat sebagai sesuatu yang sangat positif memandangkan adanya pihak tambahan (guru pembantu) yang akan memberi fokus dan bantuan kepada pelajar yang lemah prestasi akademiknya. Sebagai contoh, guru pembantu akan bertindak memantau pelajar yang lemah sementara guru boleh memberi perhatian kepada murid lain di dalam kelas. Sebagaimana yang berlaku di dalam sistem pendidikan prasekolah yang juga mempunyai pembantu (Pembantu Pengurusan Murid), hal ini dilihat dapat meringankan kerja guru memandangkan pembantu juga boleh melibatkan diri di dalam akademik murid dan bukan hanya memberi fokus terhadap kerja-kerja perkeranian semata-mata. Melalui pendekatan inilah, prestasi murid dapat dipertingkatkan.

            Kenyataan ini disokong oleh Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad dengan kenyataannya bahawa pelaksanaan dua guru di dalam satu kelas dapat memberi faedah kepada murid kerana mudah untuk mengawasi mereka. Menurut beliau lagi, guru boleh memberi tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, manakala guru pembantu berperanan memastikan proses berkenaan berjalan lancar di dalam bilik darjah (Berita Harian Online, 14 Disember 2010).
           
           
3.0         3.0 IMPLIKASI

Secara umumnya, tugas guru pembantu adalah bukan untuk mengambil alih tugas guru untuk melaksanakan pengajaran, akan tetapi ianya lebih kepada membantu melaksanakan tugas-tugas perkeranian sebagaimana yang disebut oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng supaya menilai semula cadangan ini demi mengelakkan tugas guru dan guru pembantu bertindih, sebagai contoh tugas guru pembantu adalah lebih tertumpu kepada tugas perkeranian dan pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi (Berita Harian Online, 14 Disember 2010).

Mungkin terdapat persoalan yang timbul, bagaimana guru pembantu dapat meningkatkan prestasi pelajar sedangkan tugas guru pembantu bukan mengajar secara langsung seperti tugas guru sedia ada. Jawapan kepada persoalan yang timbul adalah terletak kepada tugas hakiki guru. Seperti yang telah tersedia maklum, tugas guru adalah untuk mengajar atau dengan kata lain, mendidik murid dan pelajar agar menjadi insan yang berguna ke arah memperkembangkan potensi individu secara holistik. Jika merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Empat, perkataan holistik adalah bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai sesuatu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja. Di sini dapat disimpulkan bahawa perkembangan secara holistik sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan adalah bukan merujuk kepada prestasi akademik semata-mata.

Jika dinilai tugas guru pembantu adalah hanya berfokus kepada tugas perkeranian, maka sudah tentu guru pembantu dikatakan tidak dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar. Akan tetapi sekiranya dilihat dari aspek yang berbeza, guru pembantu sebenarnya merupakan suatu medan untuk membantu kerja guru. Sebagai contoh, dari segi aspek kawalan disiplin murid, membantu dalam penyediaan bahan bantu mengajar dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan motivasi guru untuk lebih memperbaiki teknik dan kemahiran mengajar sedia ada dengan adanya bantuan daripada guru pembantu atau guru kedua ini.

Sebagai contoh, jika sebelum ini guru hanya mampu menyediakan kad imbasan sebagai bahan bantu mengajar, tetapi dengan adanya pembantu, sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif. Kemungkinan, guru boleh membawa murid ke luar bilik darjah untuk pembelajaran berbentuk hands on. Di sinilah, tugas guru pembantu dilihat penting iaitu untuk membantu kawalan disiplin murid yang ramai iaitu hampir 40 hingga 50 orang murid. Melihat kepada perkara inilah, perkembangan murid secara holistik dapat dikembangkan dan tidak hanya menyediakan pembelajaran secara spoon feeding kepada murid. Seharusnya, pada peringkat awal ini perkembangan kognitif murid perlu dijana.

Walaupun cadangan untuk mewujudkan guru pembantu ini dilihat membawa banyak kebaikan, khususnya memberi impak yang baik kepada murid dan pelajar, namun demikian para guru seharusnya sentiasa beringat dan sedar, gunakan peluang ini semaksimum mungkin. Seandainya cadangan untuk mewujudkan guru pembantu ini dilaksanakan, para pendidik janganlah bersikap seperti acuh tidak acuh sahaja dalam menjalankan tanggungjawab untuk mendidik pelajar. Seharusnya, guru perlu kembali kepada matlamat sebenar pendidikan iaitu tugas mendidik sebagaimana yang diperkatakan oleh  Prof. Datuk Dr Zainal Kling yang menekankan tujuan utama sistem pendidikan adalah mendidik pelajar terutamanya pada peringkat sekolah rendah, sementara perkara lain mungkin boleh dimulakan di sekolah menengah (Berita Harian Online, 2 April 2010).

Tidak dinafikan, tugas Kementerian Pelajaran sangat berat untuk memberikan kata putus tentang cadangan mewujudkan guru pembantu di sekolah. Kajian demi kajian perlu dijalankan untuk mengenalpasti keperluan jawatan tersebut dengan mengambil kira pelbagai implikasi, termasuk dari segi kewangan yang sudah pastinya memerlukan peruntukan yang besar daripada pihak kerajaan. Negara memerlukan kos yang lebih tinggi untuk sistem pendidikan bagi memutuskan bentuk pelaburan pendidikan yang boleh membawa pulangan yang maksimum (Berita Harian Online, 4 Mei 2010).

Jawatan guru pembantu ini diharapkan agar dapat meringan beban tugas guru di sekolah sebagaimana laporan Ridzuan Yeop di dalam laman Berita Harian Online (13 Mei 2010) yang memetik kenyataan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan mengenai jawatan pembantu guru perlu diwujudkan bagi membantu guru yang turut melaksanakan tugas pentadbiran dan menjadi antara punca utama beban guru bertambah. Kenyataan beliau disokong oleh Presiden Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru termasuk perlu bertugas pada hari Sabtu. Ulas Mohamad Ali lagi, jika beban guru dikurangkan, mereka boleh menumpukan perhatian terhadap tugas hakiki atau tugas sebenar guru iaitu pengajaran dan pembelajaran selain meningkatkan soal disiplin dan keselamatan anak di sekolah. Secara tuntasnya, kewujudan guru pembantu ini secara tidak langsung dapat meringankan beban tugas guru di sekolah.


4.0         4.0 RUMUSAN DAN CADANGAN

Cadangan untuk mewujudkan jawatan guru pembantu atau guru kedua di sekolah sememangnya bukan sesuatu perkara mudah yang boleh diputuskan dalam tempoh masa yang singkat, akan tetapi memerlukan pertimbangan yang sangat teliti dengan mengambil kira semua aspek yang berkait dengan sistem pendidikan seperti kurikulum, kewangan, sumber manusia, organisasi sekolah, keperluan pendidikan semasa dan sebagainya. Menurut ulasan pihak Kementerian Pelajaran bahawasanya, adalah memerlukan pertimbangan wajar sebelum membuat sebarang keputusan. Hal ini demikian, kejayaan pendidikan bukan hanya dengan menambah sumber tenaga pendidik, sebaliknya memerlukan peningkatan produktiviti dan daya saing negara (Berita Harian Online, 4 Mei 2010).

            Di dalam usaha untuk merealisasikan jawatan guru pembantu di sekolah, sebuah kurikulum perlu dirangka dalam konteks berkaitan guru pembantu dengan mengadakan latihan perguruan untuk guru pembantu. Sebagaimana kenyataan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Arsad, guru pembantu perlu memiliki kelayakan Kursus Khas Perguruan, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pendidikan atau mengambil mereka daripada kalangan guru sandaran tak terlatih (GSTT) bagi memenuhi keperluan terbabit (Berita Harian Online, 14 Disember 2010).

            Namun demikian, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil sumber manusia secara tergesa-gesa tanpa meneliti terlebih dahulu keperluan tuntutan pendidikan. Perancangan dan pelaksanaan yang teliti perlu untuk menghasilkan modal insan yang setaraf dengan negara lain di dunia. Melihatkan kepada solusi yang semakin menemukan jalannya, adalah sangat baik sekiranya pihak kementerian mengkaji dan meneliti Skim Perkhidmatan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) prasekolah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Nilai semula skim perkhidmatan tersebut sebelum mewujudkan satu lagi skim perkhidmatan baru berkaitan dengan guru pembantu. Beberapa aspek seperti kelayakan, bidang tugas, pelarasan gaji dan sebagainya.

            Hal tersebut demikian bertujuan untuk melaksanakan penambahbaikan sekiranya skim perkhidmatan baru, iaitu guru pembantu ingin diwujudkan berdasarkan acuan sedia ada. Secara tidak langsung, hal ini akan memberikan gambaran awal tentang cara pelaksanaan guru pembantu. Di samping itu, wujudkan program latihan praperkhidmatan atau latihan asas sebelum kakitangan atau guru pembantu tersebut memulakan tugas. Perkara ini bertujuan mengelakkan timbulnya kejutan budaya terhadap bidang atau kerja yang dilakukan. Walaubagaimanapun, apa yang menjadi keutamaan adalah guru pembantu perlu bersama-sama membantu dan bertindak wajar dalam mengurus organisasi.

            Tuntasnya, cadangan untuk mewujudkan jawatan pembantu guru ini dilihat sebagai sesuatu yang sangat relevan, dan bersesuaian dengan sistem dan keperluan pendidikan masa kini. Di dalam menyahut seruan pihak kerajaan untuk melahirkan generasi yang merupakan  tunjang utama kejayaan negara, guru-guru tidak seharusnya dibebankan dengan tugas-tugas lain secara berlebihan yang boleh membantutkan tugas hakiki guru sebagai pengajar dan pendidik. Oleh hal yang demikian, tugas guru pembantu ini diharapkan agar dapat mengurangkan beban tugas guru dan secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan prestasi murid.

Isu Keguruan 4 : 1001 Cabaran Guru Pendidikan Khas

1.0 PENGENALAN

         Pendidikan merupakan satu wadah utama untuk pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang baik ialah pendidikan untuk semua dan merangkumi segala aspek yang diperlukan oleh setiap murid mengikut perbezaan murid. Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu “Pendidikan adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Oleh itu, pendidikan yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai juga perlu disediakan.

         Di Malaysia, pendidikan khas telah mendapat perhatian semua pihak apabila Akta Pendidikan 1996 menyatakan, program pendidikan khas di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan layak diikuti oleh murid dengan keperluan khas yang boleh dididik, iaitu;

“Jika dia mampu menguruskan diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain dan disahkan oleh suatu panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai daripada Kementerian Pendidikan dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai berupaya mengikut program pendidikan kebangsaan.”

Sehubungan dengan itu, pendidikan khas di Malaysia pada masa kini adalah di bawah tanggungjawab empat kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang cacat fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik atau terencat. Manakala Kementerian Kesihatan pula bertanggungjawab menyaring dan mengenalpasti kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan berisiko. (Jamila K.A Mohamed, 2006)

            Jamila K.A Mohamed (2006) menyatakan bahawa pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara teratur serta dinilai keberkesanannya secara teliti bagi membantu murid dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari tinggi dan kejayaan hidup yang memuaskan.

            Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), program pendidikan khas bererti suatu program yang disediakan di sekolah khas bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan ataupun kecacatan pendengaran. Selain itu, program pendidikan khas juga diertikan sebagai suatu program percantuman di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan ataupun kecacatan pendengaran atau mempunyai masalah pembelajaran dan program pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan khas yang dapat menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid biasa. (Jamila K.A Mohamed, 2006).

            Program Pendidikan Khas di Malaysia terdiri daripada tiga kategori yang utama iaitu Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran, Program Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan dan Program Pendidikan Khas Integrasi. Ketiga- tiga program ini disediakan dari peringkat prasekolah sehinggalah sekolah menengah. Disamping itu, pendidikan teknik dan vokasional juga disediakan untuk ketiga-tiga kategori ini, khususnya bagi masalah pendengaran. Malah pelajar masalah pendengaran yang berkelayakan dapat meneruskan pengajian mereka di politeknik yang menjalankan program pendidikan secara inklusif.

            Secara umumnya, masyarakat melabelkan orang yang memerlukan keperluan khas sebagai orang cacat,kurang upaya dan ketidaksempurnaan. Menurut Noriati A.Rashid et al. (2011), kumpulan berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak istimewa (luar biasa atau tercabar dari segi intelek, jasmani, sosial atau emosi). Kumpulan ini dianggap sebagai istimewa kerana ibu bapa dan guru menumpukan perhatian yang lebih berbanding murid-murid normal. Antaranya murid yang menghadapi penyakit autisme, sindrom down, masalah pembelajaran disleksia, lewat perkembangan cerebral palsy, kecacatan pendengaran dan penglihatan, pintar cerdas, kecelaruan tingkah laku dan lain-lain lagi. Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), murid-murid dengan keperluan khas bermaksud murid-murid yang mempunyai kecacatan samaada penglihatan, pendengaran ataupun masalah pembelajaran. (Jamila K.A Mohamed, 2006)

2.0 PERKEMBANGAN      

2.1  PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS

            Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Menurut Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah, Abdul Rahim Mohd Said (Utusan Online, 2008), beliau menyatakan bahawa setiap guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar dan ibu bapa mereka sera tahu apa keperluan pelajar bagi menjadi seorang guru yang baik. Ia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Guru iaitu “ Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.”

            Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik pelajar kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap pelajar pendidikan khas di dalam sesebuah kelas memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

            Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui.

            Kaunselor juga seringkali dikaitkan dengan guru pendidikan khas. ia berlaku apabila mereka seringkali mempunyai anggapan positif terhadap pelajar mereka. Mereka tidak pernah menganggap pelajar mereka mempunyai masalah yang tidak boleh diselesaikan. Justeru itu, mereka sentiasa menerima pelajar mereka tanpa syarat. Guru Pendidikan Khas juga dianggap kaunselor apabila murid-murid mengalami masalah sosioemosi seperti rasa takut, kecewa, bosan dan sebagainya serta masalah pembelajaran hendaklah dibimbing supaya murid dapat membina keyakinan diri. Sebagai contoh Cikgu Alizah Abdul Malek, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong telah mengatakan bahawa beliau bukan sahaja mengajar di sekolah malah pernah diminta oleh ibu bapa pelajar supaya menelefon dan mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah (Utusan Online, 2011). Ini membuktikan bahawa peranan guru pendidikan khas sebagai kaunselor yang sentiasa menyelesaikan masalah murid walaupun masalah berlaku di luar sekolah. Lain pula dengan Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota apabila terdapat pelajar istimewa yang dirasakan berpotensi, dia akan membawa mereka pulang ke rumah selepas sekolah dan mengajar cara-cara pengurusan diri. (Kosmo, 2008).

2.2 CIRI-CIRI GURU PENDIDIKAN KHAS

            Guru adalah orang yang penting dalam riwayat hidup setiap individu sehinggakan ada pendapat yang mengatakan, “Saya suka subjek itu kerana saya sukakan cara guru itu mengajarnya”. Apabila kanak-kanak itu mula bersekolah sehinggalah mereka meningkat dewasa, mereka sentiasa berhadapan dengan guru serta interaksi juga sering berlaku. Guru mengajar, membimbing, menegur, memuji, memujuk dan memarahi pelajar-pelajarnya adalah situasi yang sentiasa berlaku semasa pengajaran dijalankan. Dalam situasi ini terdapat pelbagai kualiti yang berbeza. Mengikut Atan Long (1992) dalam buku Mengurus Tingkah Laku Pelajar , terdapat beberapa ciri menjadi guru yang baik iaitu emosi dan mental yang stabil dan sihat, dipercayai, sering memberi kerjasama, kesihatan yang baik, kecerdasan otak dan tingkahlaku yang sopan dan menyenangkan. Kesantunan dan kepedulian adalah ciri-ciri guru yang baik malah ia adalah perkara-perkara yang terkandung di bawah etika guru. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-4, etika ialah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Oleh sebab itu, dapat disimpulkan bahawa etika guru ialah prinsip moral atau akhlak yang menjadi pegangan seorang guru.

Jika dikaitkan dengan kesantunan guru atau etiket, ia terbahagi kepada tiga iaitu kesantunan berpakaian, kesantunan tingkahlaku dan kesantunan berbahasa. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh suatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekaligus menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010). Oleh yang demikian, kesantunan guru perlu dipamerkan untuk membentuk kesantunan di kalangan murid. Kepedulian guru juga adalah salah satu daripada ciri guru yang baik. Pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Kepedulian atau dalam istilah yang lain ialah ‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan ‘menyayangi’, yang melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan perhatian terhadap pengalaman mereka. Oleh yang demikian, kepedulian bolehlah didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010).

Salah satu ciri guru pendidikan khas yang baik ialah mempunyai sifat sabar yang tinggi. Kesabaran ini diperlukan ketika menghadapi karenah murid-murid ini. Hal ini kerana murid berkeperluan khas ini sangat unik dan mempunyai pelbagai karenah dan perangai tersendiri seperti tidak sabar, memberontak, cepat menangis dan mengamuk. Untuk menghadapi situasi ini, seorang guru haruslah sentiasa berupaya mendengar dengan tekun, mengawal perasaan, serta menghargai murid. Jika kesabaran tidak dapat dipraktikkan, maka guru ini akan mengalami situasi yang sangat sukar dalam mengendalikan murid-murid dan kemungkinan guru-guru ini juga akan mengalami kemurungan. Memetik kata-kata Cikgu Lee Fong Lan dari Sekolah Menengah Danau Kota dalam Kosmo terbitan 2008, beliau menyatakan bahawa beliau pernah ditendang dan diludah oleh kanak-kanak autisme tetapi dengan kesabarannya mendidik akhirnya kanak-kanak tersebut semakin mendengar kata dan berkelakuan baik. Pendapat ini disokong oleh Cikgu Alizah bahawa guru pendidikan khas memerlukan kesabaran yang tinggi dan dengan kesabaran itu menjadikan proefesion guru sebagai unik dan menarik.

Selain itu, guru pendidikan khas juga haruslah bertanggungjawab untuk mendidik murid-murid berkeperluan khas. Sudah diketahui umum bahawa bukan semua murid-murid berkeperluan khas ini mampu membaca, menulis seperti rakannya yang lain tetapi menjadi satu kebanggaan kepada gurunya apabila murid mereka mampu berdikari dan mengurus keperluan diri sendiri. Ia merupakan kejayaan terbesar yang dan hadiah yang tidak ternilai untuk seorang guru walaupun setelah masa yang lama untuk dididik. Justeru itu, guru seharusnya bertanggungjawab menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik minat murid dalam pembelajaran. Seperti yang dikatakan oleh Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), bahawa pengajaran yang dilakukan kepada murid pendidikan khas perlu pendekatan kreatif dan kritis serta mempunyai kaedah pengajaran tersendiri.

Jika guru disiplin perlukan sifat yang tegas, guru pendidikan khas pula perlukan sifat pandai memujuk murid. Sifat ini diperlukan untuk menangani pelajar yang agrasif. Murid seperti ini tidak boleh dimarahi kerana mereka akan menjadi lebih agresif. Disinilah pentingnya sifat memujuk dan tahap kesabaran yang tinggi. Layanan yang diberikan kepada pelajar ini  perlulah dengan penuh berhemah. Sebagai contoh, Cikgu Alizah Abdul Malek telah mengalami situasi murid telah memanjat pokok dan pujukan diperlukan untuk murid tersebut turun dengan selamat. (Utusan Online, 2011)

Komunikasi antara guru dengan murid dan ibu bapa adalah sangat penting dalam mewujudkan perhubungan yang baik. Ciri positif komunikasi tersebut ialah guru boleh berinteraksi dengan baik. Dengan interaksi yang berlaku akan mewujudkan pelbagai perasaan yang positif seperti kepercayaan, empati dalam diri, penerimaan murid dan sebagainya. Dengan interaksi dua hala ini ibu bapa senang untuk mengadakan perbincangan dan meluahkan pandangan serta idea. Petikan daripada Khutbah Jakim juga menyatakan bahawa hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru penting supaya usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjalin hubungan erat dan berterusan dengan pihak sekolah supaya permasalahan diselesaikan secara muhibah. (Berita Harian, 2011)

Untuk mengatasi segala masalah yang berkaitan, guru haruslah mempunyai ilmu yang cukup dan kecerdasan minda dalam menyelesaikan masalah. Ilmu menjadi sesuatu yang penting untuk guru-guru ini mengenalpasti murid-murid mereka dengan baik dan mencari jalan penyelesaian yang baik dan sesuai untuk setiap murid. Ilmu bukan sahaja melalui pembacaan tetapi guru-guru ini boleh menghadiri kursus, menyambung pengajian dan bertanyakan pakar adalah salah satu daripada ilmu yang diperolehi. Dengan ilmu yang ada, guru-guru dapat menggunakan kecerdasan minda mereka dalam menghadapi muird-murid ini.

2.3  CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS

            Menjadi guru pendidikan khas adalah sesuatu yang amat berbeza dan mencabar berbanding menjadi guru biasa.(Utusan Online, 2011). Kata-kata tersebut adalah petikan daripada seorang guru pendidikan khas yang sebelum ini adalah guru biasa. Menurut Cikgu Alizah Bt Abdul Malek, kehidupan sebagai seorang guru pendidikan khas sangat mencabar kerana pelbagai karenah murid yang berbeza terpaksa mereka hadapi. Pendapat ini telah disokong oleh seorang lagi guru pendidikan khas iaitu Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota bahawa menjadi guru pendidkan khas sangat mencabar. (Kosmo, 2008)

            Cabaran yang paling besar yang perlu dihadapi ialah murid-murid sendiri. murid-murid ini akan melakukan pelbagai aksi ataupun sikap untuk menunjukkan sikap memberontak, marah, sedih dan sebagainya. Terdapat juga murid yang membuat perangai disebabkan inginkan perhatian. Ia telah dialami oleh Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota yang telah digigit dan dipukul kerana tidak memberikan perhatian kepada seorang pelajar. Disebabkan kerenah yang pelbagai, guru perlu menggunakan segala kepakaran mereka samaada memujuk, menyelesaikan masalah dan sebagainya.

            Seterusnya ialah cabaran daripada ibu bapa apabila meletakkan harapan yang tinggi terhadap guru untuk mengubah anak mereka. Apabila wujud kesedaran ibu bapa terhadap masalah pembelajaran anak-anak mereka,  mereka akan menghantar anak mereka ke sekolah. Mereka akan mula mengharapkan perubahan terhadap anak mereka sedangkan guru hanya mendidik semasa murid di sekolah sahaja. Tetapi dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas dalam menjalankan tugas, guru pendidikan khas merasakan mereka mampu membawa perubahan kepada anak-anak istimewa ini. Seorang ibu iaitu Dayang Kianhing, telah mengatakan bahawa anaknya telah berlaku perubahan yang memberangsangkan apabila sudah boleh menghafal surah al-Fatihah dan bersolat serta sudah berminat ke sekolah. Ia adalah perkembangan yang memberangsangkan kerana anaknya sebelum ini mengalami masalah hiperaktif dan masalah pertuturan. (Utusan Online, 2011)          

3.0  IMPLIKASI

            Implikasi cabaran yang dihadapi oleh guru akan meningkatkan lagi tahap profesional guru tersebut. Tahap ini dapat ditingkatkan apabila guru mula mengutip pengalaman semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Apabila pelbagai pengalaman telah dilalui, maka pelbagai perubahan yang baru akan dapat dibuat seiring dengan perubahan murid dan masa. Selaian itu, tahap profesioanalisme dapat ditingkatkan apabila guru mula memikirkan cara untuk mendapatkan ilmu sama ada menyambung pengajaran, menghadiri kursus, membaca dan sebagainya. Kemahiran-kemahiran baru juga akan dapat dikumpul melalui aktiviti yang dijalankan.

            Selain itu, penyampaian pengajaran guru akan menjadi sesuatu yang menarik dan pelbagai. Penyampaian yang menarik sangat diperlukan supaya murid tidak merasa bosan sekaligus tidak ingin hadir ke sekolah. Untuk menjadikan pengajaran sesuatu yang menarik, guru mestilah menyediakan perancangan pengajaran terlebih dahulu sebelum menyampaikannya. Bukan sahaja perancangan pengajaran malah bahan bantu mengajar juga akan disediakan bagi menjadikan sesuatu pengajaran dan pembelajaran akan berkesan dan menarik.

            Etika guru akan terjaga dengan baik apabila menjadi guru pendidikan khas. Disebabkan guru memerlukan sikap sabar, penyayang, jujur serta bertanggungjawab maka, keperibadian guru akan meningkatkan ke tahap yang lebih baik. Selain daripada itu, percakapan yang lembut dan sifat memujuk mampu menjadikan seorang guru pendidikan khas sebagai guru yang baik dan menjaga tingkahlaku.

            Walaubagaimanapun anak-anak murid yang diterima, hubungan guru dengan ibu bapa akan terjaga dengan baik. Ini adalah kerana interaksi dua hala yang dijalinkan mampu membina hubungan yang mesra. Dapat dilihat bahawa guru dan ibu bapa akan sentiasa berhubungan antara satu sama lain untuk mendapatkan maklumat dan juga membuat perbincangan tentang sesuatu perkara.

            Pembentukan tingkahlaku positif dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial dapat dipupuk. Apabila nilai-nilai murni sering diterapkan dalam diri murid, maka mereka akan mengaplikasikannya dengan orang persekitaran. Murid juga akan belajar melalui tingkahlaku dan cara guru mengajar dan mendidik mereka. Ini disebabkan oleh salah satu dari pembelajaran murid adalah melalui pemerhatian dan peniruan.

 4.0 CADANGAN

Cadangan pertama untuk guru menghadapi murid-murid ini ialah guru seharusnya memperkasa emosi dalam membentuk sikap pelajar. (Abdul Ghani Abdullah & Abd. Rahman Abd. Aziz, 2009). Kamus Dewan edisi ke-4 mentakrifkan emosi sebagai perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih dan marah. Oleh itu, emosi adalah ciri jiwa manusia yang mempamerkan perasaan yang berpunca daripada psikologi, tingkahlaku dan naluri manusia. Guru haruslah mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi untuk menangani ketidakstabilan emosi yang berpunca daripada tekanan dengan positif. Tanpa kesedaran kendiri, individu itu tidak mampu untuk membina makna hasil tindakan dan reaksinya pada persekitaran. Disebabkan itu, guru memerlukan dorongan diri ataupun motivasi yang tinggi dalam kawalan kecenderungan emosi yang dapat memandu ataupun memudahkan pencapaian matlamat dan kejayaan orang lain.

Guru juga boleh menggunakan satu pendekatan untuk membentuk tingkahlaku murid supaya senang untuk dikawal semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai  contoh aktiviti bercerita dalam membentuk tingkahlaku murid. Cerita boleh dijadikan sebagai satu terapi untuk intervensi kaunseling kanak-kanak. Terapi bercerita ialah seni mempengaruhi orang lain dengan bercerita berkenaan dilema persendirian mereka. Terapi ini juga merupakan media komunikasi antara ahli terapi dengan klien. (Lee Keok Cheong et al., 2012). Melalui aktiviti bercerita ini guru boleh menggunakan contoh teladan untuk memberi pengajaran kepada murid. Akan terdapat murid yang akan mengikut tingkahlaku yang diceritakan oleh guru. Cerita yang dipilih oleh guru juga hendaklah bersesuaian dengan perkembangan murid.

            Melahirkan guru mesra OKU juga salah satu dari cara untuk membentuk guru pendidikan khas yang baik dan prihatin serta mesra terhadap murid. Ia haruslah diberikan latihan semasa guru-guru ini berada dalam latihan perguruan. Ia bukan merujuk kepada guru pendidikan khas sahaja tetapi juga guru-guru biasa supaya mereka dapat mengesan ketidaksempurnaan anak didik mereka. Dengan itu, guru-guru bolehlah membawa masalah ini kepada pakar. Program ini juga disokong oleh pihak TWINTECH International University College of Technology (TWINTECH) apabila mereka menawarkan pelbagai program bagi membantu kerajaan melahirkan guru prihatin dan mesra orang kelainan upaya (OKU). Universti tersebut mengambil tindakan seperti penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia wajib bagi graduan, melahirkan guru pendidikan khas berkepakaran autisme dan sebagainya. ( Mymetro, 2012)

5.0 RUMUSAN

            Pada pandangan saya, tugas guru pendidikan khas sangat mencabar kepada sesiapa yang menyandangnya. Tugas itu terlalu berat untuk dipikul untuk guru yang masih belum menguasai tahap kesabaran dan keikhlasan yang tinggi. Pengalaman ini telah dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia melalui penerbitan Kosmo, 2008 dan Utusan Online, 2011. Cikgu Alizah Abdul Malek (Utusan Online,2011) menyimpulkan bahawa guru pendidikan khas mempunyai 1001 macam cerita. Cerita yang mereka sempat berkongsi adalah berkaitan ragam murid-murid dan juga harapan ibu bapa.  

Selain daripada guru, ibu bapa juga menganggap anak istimewa sebagai cabaran yang besar. Berikutan kenyataan tersebut, ibu kanak-kanak autisme menyatakan bahawa sebelum mendapat pendidikan di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, (NASOM) anaknya mudah naik angin dan marah apabila keinginan dirinya tidak dipenuhi. Percakapannya tidak difahami apabila hanya mengeluarkan bunyi seperti em...em...sahaja. (Berita Harian, 2012). Jika dilihat kenyataan ibu kanak-kanak tersebut, beliau hanya menghadapi seorang sahaja kanak-kanak istimewa tetapi guru pendidikan khas menghadapi murid lebih daripada seorang serta mempunyai kepelbagaian masalah.

Walaupun pelbagai cabaran yang telah mereka hadapi tetapi dengan kejayaan murid-murid mereka walaupun hanya sekadar mengurus diri sendiri adalah kejayaan terbesar dan tidak ternilai oleh mereka. Dengan berkat kesabaran mereka dalam mendidik, murid-murid ini telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh guru tersebut. Namun terdapat juga murid berkeperluan khas yang telah berjaya dengan cemerlang dan mendapat pendidkan sehingga peringkat tinggi.  Dua orang pelajar cacat penglihatan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak (SMPKS), Kuala Lumpur iaitu Tang Kah Hung dan Ahmad Shahide Ruslan telah mendapat 10 A untuk SP 2010. (Berita Harian, 2010) Ini menunjukkan terdapat juga murid berkeperluan khas yang berjaya sehingga ke peringkat tinggi.

Oleh yang demikian, jangan dipandang murid berkeperluan khas hanya memberikan beban yang besar kepada orang sekeliling mereka tetapi pandanglah mereka sebagai anugerah yang terindah. Saya memetik kata-kata Rosmah Mansur yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), iaitu “hanya dengan mendampingi mereka, barulah ia dapat membuka hati dan minda kita supaya lebih menghayati keperluan mereka dan seterusnya memperjuangkan nasib golongan OKU.”(Berita Harian, 2011)   

Sebagai kesimpulan, menjadi seorang guru pendidikan khas bukan sekadar menjadi guru biasa tetapi sebagai guru yang baik kerana tahap kebergantungan murid kepada guru adalah melebihi murid-murid yang normal. Namun, sebagai seorang guru, keikhlasan dalam mendidik menjadikan mereka seorang yang berfikiran positif, bersikap menerima dan sebagainya.  Walaupun banyak cabaran yang ditempuhi tetapi didiklah mereka kerana mereka berpeluang untuk meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kebergantungan kepada keluarga, masyarakat dan negara.


Isu Keguruan 3 : Gaji dan Pengorbanan Guru

1.0  PENGENALAN

Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia. Sejak dahulu lagi, profesion ini diangkat oleh masyarakat sebagai kerjaya mulia yang tiada tolok banding nilainya kepada sumbangan pembangunan anak bangsa. Biarpun penghargaan itu masih kekal, namun perubahan semasa yang menuntut daya usaha serta komitmen lebih tinggi kini jelas mencipta cabaran besar kepada guru.

Pada masa kini, individu atau kelompok yang berada dalam profesion ini mempunyai peranan yang lebih mencabar berbanding pada masa dahulu. Oleh itu, individu yang berada dalam profesion ini hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme keguruannya agar seiring dengan perkembangan semasa.

Profesion menurut Kamus Dewan (2005), dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru merupakan suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas, contohnya seperti perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain. Manakala Hoyle (1980) pula menghuraikan profesionalisme sebagai sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.

Jika dilihat di dada-dada akhbar mahupun laman sesawang, terdapat pelbagai erita atau isu yang saling berkait rapat dengan profesion ini. Antaranya ialah gaji dan pengorbanan guru, guru berpolitik, beban tugas guru, guru pendidikan khas dan sebagainya. Salah satu isu yang sering menjadi topik perbincangan ialah isu gaji dan pengorbanan guru.

2.0  PERKEMBANGAN HUJAH

Isu gaji dan pengorbanan guru merupakan suatu isu yang bukanlah perkara asing lagi dalam bidang pendidikan pada masa kini. Hal ini kerana isu ini sering menjadi tajuk perbualan hangat antara masyarakat tidak kiralah secara kumpulan mahupun individu. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri berkaitan isu ini. 

Sebagai contoh, berdasarkan artikel yang dipetik daripada akhbar Harian Metro, ‘Ramai Guru Kecewa Kenaikan Gaji Baru Dianggap Tidak Adil bagi Mereka yang Melanjutkan Pelajaran’. Pengumuman mengenai kenaikan gaji yang sepatutnya diiringi dengan rasa syukur tidak berlaku kepada golongan guru apabila ramai yang merungut dengan kenaikan gaji baru yang dianggap tidak adil bagi guru yang sedang melanjutkan pelajaran daripada diploma ke Ijazah Sarjana Muda. Golongan ini merasa terkilan kerana mereka akan menikmati gaji lebih rendah berbanding jika tidak melanjutkan pelajaran.

Berdasarkan artikel tersebut, seorang pembaca akhbar yang menamakannya dirinya ‘Guru Siswazah Tua’ berkata, dia terpaksa menghabiskan tiga atau empat tahun bergelumang buku dan kerja kursus di samping meninggalkan anak dan isteri semata-mata untuk menggenggam segulung ijazah. Kejutan yang diterima ialah gaji permulaan DG41 yang ditawarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) lebih rendah berbanding jika mereka meneruskan khidmat dalam skim lama. Manakala guru lulusan diploma ditawarkan skim DGA29 P2T9 dengan gaji pokok RM1631.56 dan meningkat kepada RM1794.91 tiga tahun kemudian. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran telah mengumumkan kenaikan pangkat secara ‘time based’ kepada guru DGA29 P2T9 yang berkhidmat 10 tahun dan ke atas keg red DGA32 P1T1. Gaji permulaan ditawarkan untuk gred DGA32 P1T1 ialah RM 1932.85 tetapi oleh kerana kenaikan itu sudah dikebelakangkan kepada 2005, gaji mereka berada pada tahap DGA32 P1T3 RM 2090.15. ‘Guru Siswazah Tua’ tersebut berada pada tahap DG41 P1T6 dengan gaji pokok RM1867.90. Beliau berada hampir 17 tahun dalam perkhidmatan pelajaran dan komited meningkatkan pencapaian diri, tetapi mendakwa pengiktirafan dari segi gaji berada di bawah mereka yang berkelulusan rendah.

Keadaan menjadi semakin resah apabila Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam pada bulan Mei yang lalu. Berdasarkan kenaikan 25 peratus berasaskan gaji pokok semasa yang dinikmati golongan DGA32 P1T3 akan mendapat lonjakan ke RM2612.68 manakala golongan ‘Guru Siswazah Tua’ hanya mendapat RM2148.10 (DG41 P1T6).

Bagi seorang lagi pembaca akhbar yang mengelarkan dirinya ‘Guru Lama’, keluhannya hampir sama dengan ‘Guru Siswazah Tua’ dengan beranggapan pengorbanan mereka untuk menuntut ilmu dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah selepas bertahun mengajar tidak langsung dihargai. Menurutnya, selepas menamatkan pengajian, guru yang melanjutkan pelajaran akan menikmati gaji lebih rendah berbanding guru yang tidak menyambung pelajaran.

Seterusnya, pihak kerajaan juga turut dalam dilema apabila setiap kali mengumumkan sesuatu pasti ada pihak yang tidak puas hati. Namun, hakikatnya bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Itulah persoalannya apabila membicarakan isu pelarasan gaji diumumkan kerajaan baru-baru ini dan ia mula dinikmati semua kakitangan awam pada akhir bulan ini. Perkara yang dikhuatiri kerajaan kini dibangkitkan pula oleh kelompok paling besar dalam sektor perkhidmatan awam iaitu guru.

Konflik yang berlaku antara golongan ini dengan guru bukan siswazah sampai ke kemuncaknya apabila golongan ini mendakwa pelarasan gaji menyebabkan mereka lebih jauh kerugian berbanding mereka yang tidak menyambung pelajaran. Berikut merupakan contoh kekurangan gaji yang diterima oleh guru disebabkan mereka sambung belajar dalam akhbar Berita Harian.

            Seterusnya, berdasarkan artikel daripada surat khabar Berita Harian, Selasa, 18 Mei 2010, yang ditulis oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dato Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom yang bertajuk ‘Pengorbanan Guru Tidak Sama Wang Ringgit’.

“Kita tidak boleh menyamakan pengorbanan guru dengan wang ringgit kerana segala yang disumbangkan itu adalah terlalu berharga dan tidak ternilai. Tugas mulia seorang guru sering dijadikan pedoman masyarakat yang sering mengaitkan anak guru lazimnya seorang yang cerdik, pintar dan pandai. Jika diteliti secara mendalam, andaian itu memang betul. Jika guru ikhlas melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab pastinya anak mereka mendapat berkat. Keberkatan itu dilihat dengan pencapaian cemerlang anak mereka dalam akademik, selain pembangunan sahsiah membanggakan”.

Menurut beliau, semua guru boleh mengajar, tetapi tidak semua guru mampu mendidik. Mengajar dan mendidik merupakan perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan mempunyai pengertian serta terjemahan sendiri. Mengulas isu imbuhan guru tidak setanding tugas dan beban yang terpaksa digalas. Hal ini memang tidak dapat dinafikan, terutamanya bagi mereka yang bertugas di pedalaman yang serba kekurangan. Perkara yang sama juga berlaku di bandar apabila kos sara hidup yang tinggi sedangkan pendapatan yang diperoleh sama dengan rakan yang mengajar di pekan yang kecil.

3.0  IMPLIKASI

Setiap isu yang diketengahkan pasti memberi implikasi kepada sesetengah pihak sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Tindakan pihak kerajaan yang menggalakkan guru menyambung pelajaran untuk menyahut seruan kerajaan supaya semua guru di sekolah menengah dan separuh guru sekolah rendah bersiswazah menjelang tahun 2010.

Oleh itu, tindakan guru menyambung pelajaran adalah salah satu tanda mereka menyahut positif seruan kerajaan. Justeru, apabila guru sudah sanggup mengorbankan segala wang ringgit, masa dan keringat, malah ada yang sanggup berhutang demi memiliki segulung ijazah, wajarlah mereka diberi pengiktirafan dan mendapat pembelaan yang setimpal dengan apa yang mereka sudah lakukan.

Antara implikasi golongan ini harus diberi imbuhan yang setimpal dengan usaha yang telah dilakukan ialah supaya golongan ini tidak menghadapi kerugian  seumur hidup dalam gaji dan pencen. Hal ini bertepatan dengan Syor Laporan Abdul Rahman Arshad (1996) yang menyatakan, “bagi guru terlatih yang mendapat ijazah, tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah hendaklah diambil kira dalam menetapkan gaji permulaan mereka dengan memberikan kenaikan gaji bersyarat. Adalah dicadangkan satu kenaikan gaji diberikan bagi setiap tiga tahun perkhidmatan sebelum mereka ke universiti tertakluk kepada syarat tidak melebihi tiga kenaikan gaji.

4.0  CADANGAN

Pada pendapat saya, golongan guru yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda harus diberi pujian dan diberi kenaikan gaji khas supaya jurang gaji yang diterima setimpal dengan usaha dan juga senoriti dalam perkhidmatan. Selain itu, tujuan kenaikan gaji ini ialah untuk mengurangkan rasa ketidakpuasan hati dan juga bagi memotivasikan para pendidik dalam kumpulan tersebut.

Pengorbanan seorang guru perlu diambil kira kerana golongan ini sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi mempertingkatkan ilmu mereka. Justeru, pengorbanan golongan ini perlu diberi pertimbangan dengan memberi kenaikan gaji khas kepada mereka.

            Di samping itu, terdapat lebih daripada 50,000 orang golongan ijazah ini yang menghadapi situasi yang sedang hangat diperkatakan iaitu, isu gaji. Pada pendapat saya, jika hendak dibandingkan dengan puluhan ribu yang terbabit dengan situasi ini, guru harus bersikap positif, memandang jauh ke hadapan dan menilai setiap faedah yang akan diperoleh guru siswazah berbanding guru lepasan diploma yang tidak berminat menyambung pelajaran.

            Menurut Datuk Alimuddin Mohd Dom, selaku Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, dalam artikel yang bertajuk ‘Kementerian Galak Pendidik Tingkat Kualiti Akademik”, terdapat banyak peluang serta faedah yang akan dinikmati, jauh lebih tinggi daripada guru bukan siswazah. Guru bukan siswazah bukan hanya berpeluang dinaikkan pangkat sehingga ke gred DG38 itupun sekiranya dilantik sebagai Guru Besar Cemerlang. Namun, bagi guru siswazah mereka berpeluang menerima kenaikan pangkat sehingga ke peringkat tertinggi dalam sektor awam, iaitu Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) sekiranya dilantik sebagai Pengetua Cemerlang.

            Justeru, guru tidak perlu melatah serta merungut berkenaan perkara ini kerana pada hakikatnya guru yang memiliki ijazah tidak akan rugi, malah akan memperoleh lebih banyak keuntungan dalam perkhidmatan.

5.0  RUMUSAN

Kesimpulan yang dapat saya simpulkan berdasarkan perbincangan di atas ialah profesion keguruan merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat harus sedar cabaran dan pengorbanan yang dihadapi dan dilakukan oleh golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini. Apa pun yang dilihat oleh masyarakat hari ini mengenai apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu profesion keguruan di negara kita, namun apa yang berlaku, masyarakat tetap meletakkan anggapan bahawa profesion ini merupakan pilihan yang terakhir.

 Usaha pihak kerajaan untuk memartabatkan profesion ini perlu dipandang tinggi oleh masyarakat khususnya golongan pendidik. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua kerjayanya, telah di asuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

“Saya hanya boleh berharap supaya setiap guru sedar akan betapa mulianya profesion guru itu. Guru bertanggungjawab menyumbang kepada anak bangsa dan lebih mulia lagi jika sumbangan serta pengorbanan itu dilakukan secara ikhlas, sukarela dan penuh rasa senang hati. Di pihak kerajaan, peranan dan sumbangan mereka sangat-sangat kita hargai dan kita juga sangat berterima kasih kepada semua guru. Kita gembira dan bersyukur kerana setakat ini, guru-guru Malaysia telah jauh membuktikan betapa mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan sangat cemerlang. Harapan saya semoga dedikasi ini berterusan demi mencapai matlamat negara menjadi bangsa maju berjaya menjelang tahun 2020”.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (2011)

Pelbagai usaha yang diambil oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan profesion keguruan. Antaranya ialah program pensiswazahan guru yang mensasarkan supaya menjelang 2015 seramai 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah. Selain itu, dari aspek kenaikan pangkat pula, pelbagai faedah disediakan untuk perkhidmatan perguruan dan kebanyakkannya tidak dinikmati sektor perkhidmatan lain. Satu contoh ialah perguruan menjadi satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat, iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang (KUP), kenaikan pangkat secara time-based, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat Guru Cemerlang.

Selain itu, khidmat perguruan juga disediakan imbuhan berasaskan prestasi, iaitu insentif Tawaran Baru atau Bai’ah kepada pengetua, guru besar dan warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing, dan kelebihan ini juga tidak dinikmati mana-mana sector perkhidmatan lain. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga meluluskan bayaran berprestasi tinggi bagi menghargai jasa guru dan kakitangan sokongan yang berkhidmat di sekolah Berprestasi Tinggi.

Begitu juga keputusan kerajaan mewujudkan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam. Ini memberi gambaran yang jelas bahawa guru-guru akan menikmati pelbagai faedah dari segi peluang kenaikan gred dan gaji yang lebih lumayan di bawah Skim Baru Perkhidmatan Awam. Semua ini sepatutnya boleh dilihat sebagai isyarat jelas betapa kerajaan amat serius dalam usaha memartabatkan profesion perguruan.