CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday 29 August 2012

Isu Keguruan 3 : Gaji dan Pengorbanan Guru

1.0  PENGENALAN

Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia. Sejak dahulu lagi, profesion ini diangkat oleh masyarakat sebagai kerjaya mulia yang tiada tolok banding nilainya kepada sumbangan pembangunan anak bangsa. Biarpun penghargaan itu masih kekal, namun perubahan semasa yang menuntut daya usaha serta komitmen lebih tinggi kini jelas mencipta cabaran besar kepada guru.

Pada masa kini, individu atau kelompok yang berada dalam profesion ini mempunyai peranan yang lebih mencabar berbanding pada masa dahulu. Oleh itu, individu yang berada dalam profesion ini hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme keguruannya agar seiring dengan perkembangan semasa.

Profesion menurut Kamus Dewan (2005), dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru merupakan suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas, contohnya seperti perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain. Manakala Hoyle (1980) pula menghuraikan profesionalisme sebagai sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.

Jika dilihat di dada-dada akhbar mahupun laman sesawang, terdapat pelbagai erita atau isu yang saling berkait rapat dengan profesion ini. Antaranya ialah gaji dan pengorbanan guru, guru berpolitik, beban tugas guru, guru pendidikan khas dan sebagainya. Salah satu isu yang sering menjadi topik perbincangan ialah isu gaji dan pengorbanan guru.

2.0  PERKEMBANGAN HUJAH

Isu gaji dan pengorbanan guru merupakan suatu isu yang bukanlah perkara asing lagi dalam bidang pendidikan pada masa kini. Hal ini kerana isu ini sering menjadi tajuk perbualan hangat antara masyarakat tidak kiralah secara kumpulan mahupun individu. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri berkaitan isu ini. 

Sebagai contoh, berdasarkan artikel yang dipetik daripada akhbar Harian Metro, ‘Ramai Guru Kecewa Kenaikan Gaji Baru Dianggap Tidak Adil bagi Mereka yang Melanjutkan Pelajaran’. Pengumuman mengenai kenaikan gaji yang sepatutnya diiringi dengan rasa syukur tidak berlaku kepada golongan guru apabila ramai yang merungut dengan kenaikan gaji baru yang dianggap tidak adil bagi guru yang sedang melanjutkan pelajaran daripada diploma ke Ijazah Sarjana Muda. Golongan ini merasa terkilan kerana mereka akan menikmati gaji lebih rendah berbanding jika tidak melanjutkan pelajaran.

Berdasarkan artikel tersebut, seorang pembaca akhbar yang menamakannya dirinya ‘Guru Siswazah Tua’ berkata, dia terpaksa menghabiskan tiga atau empat tahun bergelumang buku dan kerja kursus di samping meninggalkan anak dan isteri semata-mata untuk menggenggam segulung ijazah. Kejutan yang diterima ialah gaji permulaan DG41 yang ditawarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) lebih rendah berbanding jika mereka meneruskan khidmat dalam skim lama. Manakala guru lulusan diploma ditawarkan skim DGA29 P2T9 dengan gaji pokok RM1631.56 dan meningkat kepada RM1794.91 tiga tahun kemudian. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran telah mengumumkan kenaikan pangkat secara ‘time based’ kepada guru DGA29 P2T9 yang berkhidmat 10 tahun dan ke atas keg red DGA32 P1T1. Gaji permulaan ditawarkan untuk gred DGA32 P1T1 ialah RM 1932.85 tetapi oleh kerana kenaikan itu sudah dikebelakangkan kepada 2005, gaji mereka berada pada tahap DGA32 P1T3 RM 2090.15. ‘Guru Siswazah Tua’ tersebut berada pada tahap DG41 P1T6 dengan gaji pokok RM1867.90. Beliau berada hampir 17 tahun dalam perkhidmatan pelajaran dan komited meningkatkan pencapaian diri, tetapi mendakwa pengiktirafan dari segi gaji berada di bawah mereka yang berkelulusan rendah.

Keadaan menjadi semakin resah apabila Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam pada bulan Mei yang lalu. Berdasarkan kenaikan 25 peratus berasaskan gaji pokok semasa yang dinikmati golongan DGA32 P1T3 akan mendapat lonjakan ke RM2612.68 manakala golongan ‘Guru Siswazah Tua’ hanya mendapat RM2148.10 (DG41 P1T6).

Bagi seorang lagi pembaca akhbar yang mengelarkan dirinya ‘Guru Lama’, keluhannya hampir sama dengan ‘Guru Siswazah Tua’ dengan beranggapan pengorbanan mereka untuk menuntut ilmu dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah selepas bertahun mengajar tidak langsung dihargai. Menurutnya, selepas menamatkan pengajian, guru yang melanjutkan pelajaran akan menikmati gaji lebih rendah berbanding guru yang tidak menyambung pelajaran.

Seterusnya, pihak kerajaan juga turut dalam dilema apabila setiap kali mengumumkan sesuatu pasti ada pihak yang tidak puas hati. Namun, hakikatnya bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Itulah persoalannya apabila membicarakan isu pelarasan gaji diumumkan kerajaan baru-baru ini dan ia mula dinikmati semua kakitangan awam pada akhir bulan ini. Perkara yang dikhuatiri kerajaan kini dibangkitkan pula oleh kelompok paling besar dalam sektor perkhidmatan awam iaitu guru.

Konflik yang berlaku antara golongan ini dengan guru bukan siswazah sampai ke kemuncaknya apabila golongan ini mendakwa pelarasan gaji menyebabkan mereka lebih jauh kerugian berbanding mereka yang tidak menyambung pelajaran. Berikut merupakan contoh kekurangan gaji yang diterima oleh guru disebabkan mereka sambung belajar dalam akhbar Berita Harian.

            Seterusnya, berdasarkan artikel daripada surat khabar Berita Harian, Selasa, 18 Mei 2010, yang ditulis oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dato Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom yang bertajuk ‘Pengorbanan Guru Tidak Sama Wang Ringgit’.

“Kita tidak boleh menyamakan pengorbanan guru dengan wang ringgit kerana segala yang disumbangkan itu adalah terlalu berharga dan tidak ternilai. Tugas mulia seorang guru sering dijadikan pedoman masyarakat yang sering mengaitkan anak guru lazimnya seorang yang cerdik, pintar dan pandai. Jika diteliti secara mendalam, andaian itu memang betul. Jika guru ikhlas melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab pastinya anak mereka mendapat berkat. Keberkatan itu dilihat dengan pencapaian cemerlang anak mereka dalam akademik, selain pembangunan sahsiah membanggakan”.

Menurut beliau, semua guru boleh mengajar, tetapi tidak semua guru mampu mendidik. Mengajar dan mendidik merupakan perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan mempunyai pengertian serta terjemahan sendiri. Mengulas isu imbuhan guru tidak setanding tugas dan beban yang terpaksa digalas. Hal ini memang tidak dapat dinafikan, terutamanya bagi mereka yang bertugas di pedalaman yang serba kekurangan. Perkara yang sama juga berlaku di bandar apabila kos sara hidup yang tinggi sedangkan pendapatan yang diperoleh sama dengan rakan yang mengajar di pekan yang kecil.

3.0  IMPLIKASI

Setiap isu yang diketengahkan pasti memberi implikasi kepada sesetengah pihak sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Tindakan pihak kerajaan yang menggalakkan guru menyambung pelajaran untuk menyahut seruan kerajaan supaya semua guru di sekolah menengah dan separuh guru sekolah rendah bersiswazah menjelang tahun 2010.

Oleh itu, tindakan guru menyambung pelajaran adalah salah satu tanda mereka menyahut positif seruan kerajaan. Justeru, apabila guru sudah sanggup mengorbankan segala wang ringgit, masa dan keringat, malah ada yang sanggup berhutang demi memiliki segulung ijazah, wajarlah mereka diberi pengiktirafan dan mendapat pembelaan yang setimpal dengan apa yang mereka sudah lakukan.

Antara implikasi golongan ini harus diberi imbuhan yang setimpal dengan usaha yang telah dilakukan ialah supaya golongan ini tidak menghadapi kerugian  seumur hidup dalam gaji dan pencen. Hal ini bertepatan dengan Syor Laporan Abdul Rahman Arshad (1996) yang menyatakan, “bagi guru terlatih yang mendapat ijazah, tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah hendaklah diambil kira dalam menetapkan gaji permulaan mereka dengan memberikan kenaikan gaji bersyarat. Adalah dicadangkan satu kenaikan gaji diberikan bagi setiap tiga tahun perkhidmatan sebelum mereka ke universiti tertakluk kepada syarat tidak melebihi tiga kenaikan gaji.

4.0  CADANGAN

Pada pendapat saya, golongan guru yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda harus diberi pujian dan diberi kenaikan gaji khas supaya jurang gaji yang diterima setimpal dengan usaha dan juga senoriti dalam perkhidmatan. Selain itu, tujuan kenaikan gaji ini ialah untuk mengurangkan rasa ketidakpuasan hati dan juga bagi memotivasikan para pendidik dalam kumpulan tersebut.

Pengorbanan seorang guru perlu diambil kira kerana golongan ini sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi mempertingkatkan ilmu mereka. Justeru, pengorbanan golongan ini perlu diberi pertimbangan dengan memberi kenaikan gaji khas kepada mereka.

            Di samping itu, terdapat lebih daripada 50,000 orang golongan ijazah ini yang menghadapi situasi yang sedang hangat diperkatakan iaitu, isu gaji. Pada pendapat saya, jika hendak dibandingkan dengan puluhan ribu yang terbabit dengan situasi ini, guru harus bersikap positif, memandang jauh ke hadapan dan menilai setiap faedah yang akan diperoleh guru siswazah berbanding guru lepasan diploma yang tidak berminat menyambung pelajaran.

            Menurut Datuk Alimuddin Mohd Dom, selaku Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, dalam artikel yang bertajuk ‘Kementerian Galak Pendidik Tingkat Kualiti Akademik”, terdapat banyak peluang serta faedah yang akan dinikmati, jauh lebih tinggi daripada guru bukan siswazah. Guru bukan siswazah bukan hanya berpeluang dinaikkan pangkat sehingga ke gred DG38 itupun sekiranya dilantik sebagai Guru Besar Cemerlang. Namun, bagi guru siswazah mereka berpeluang menerima kenaikan pangkat sehingga ke peringkat tertinggi dalam sektor awam, iaitu Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) sekiranya dilantik sebagai Pengetua Cemerlang.

            Justeru, guru tidak perlu melatah serta merungut berkenaan perkara ini kerana pada hakikatnya guru yang memiliki ijazah tidak akan rugi, malah akan memperoleh lebih banyak keuntungan dalam perkhidmatan.

5.0  RUMUSAN

Kesimpulan yang dapat saya simpulkan berdasarkan perbincangan di atas ialah profesion keguruan merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat harus sedar cabaran dan pengorbanan yang dihadapi dan dilakukan oleh golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini. Apa pun yang dilihat oleh masyarakat hari ini mengenai apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu profesion keguruan di negara kita, namun apa yang berlaku, masyarakat tetap meletakkan anggapan bahawa profesion ini merupakan pilihan yang terakhir.

 Usaha pihak kerajaan untuk memartabatkan profesion ini perlu dipandang tinggi oleh masyarakat khususnya golongan pendidik. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua kerjayanya, telah di asuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

“Saya hanya boleh berharap supaya setiap guru sedar akan betapa mulianya profesion guru itu. Guru bertanggungjawab menyumbang kepada anak bangsa dan lebih mulia lagi jika sumbangan serta pengorbanan itu dilakukan secara ikhlas, sukarela dan penuh rasa senang hati. Di pihak kerajaan, peranan dan sumbangan mereka sangat-sangat kita hargai dan kita juga sangat berterima kasih kepada semua guru. Kita gembira dan bersyukur kerana setakat ini, guru-guru Malaysia telah jauh membuktikan betapa mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan sangat cemerlang. Harapan saya semoga dedikasi ini berterusan demi mencapai matlamat negara menjadi bangsa maju berjaya menjelang tahun 2020”.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (2011)

Pelbagai usaha yang diambil oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan profesion keguruan. Antaranya ialah program pensiswazahan guru yang mensasarkan supaya menjelang 2015 seramai 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah. Selain itu, dari aspek kenaikan pangkat pula, pelbagai faedah disediakan untuk perkhidmatan perguruan dan kebanyakkannya tidak dinikmati sektor perkhidmatan lain. Satu contoh ialah perguruan menjadi satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat, iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang (KUP), kenaikan pangkat secara time-based, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat Guru Cemerlang.

Selain itu, khidmat perguruan juga disediakan imbuhan berasaskan prestasi, iaitu insentif Tawaran Baru atau Bai’ah kepada pengetua, guru besar dan warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing, dan kelebihan ini juga tidak dinikmati mana-mana sector perkhidmatan lain. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga meluluskan bayaran berprestasi tinggi bagi menghargai jasa guru dan kakitangan sokongan yang berkhidmat di sekolah Berprestasi Tinggi.

Begitu juga keputusan kerajaan mewujudkan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam. Ini memberi gambaran yang jelas bahawa guru-guru akan menikmati pelbagai faedah dari segi peluang kenaikan gred dan gaji yang lebih lumayan di bawah Skim Baru Perkhidmatan Awam. Semua ini sepatutnya boleh dilihat sebagai isyarat jelas betapa kerajaan amat serius dalam usaha memartabatkan profesion perguruan.


0 comments: