CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday 29 August 2012

Isu Keguruan 1 : Dua Elaun Tambahan Guru Pedalaman

1.0 Pengenalan

Dunia pendidikan memang tidak lepas daripada pelbagai isu sama ada membabitkan para guru atau para pelajar. Sekarang ini heboh pula tentang isu guru enggan bertugas di luar bandar hingga memaksa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran untuk mewajibkan guru bertugas di luar bandar untuk sekurang-kurang tiga hingga lima tahun.

Bertugas di pedalaman adalah suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Pengalaman mematangkan kerjaya seseorang sebagai seorang guru. Namun yang menjadi isu sekarang ini apabila ada kalangan lepasan maktab enggan bertugas atau dihantar ke luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak dan Sabah kerana momokan kawan-kawan seperjuangan yang mengatakan bahawa di Sarawak dan Sabah ini keadaannya sangat perit. 

Ada yang mengambil jalan pintas dengan segera mendirikan rumahtangga di akhir semester pengajian mereka di institut penguruan dengan harapan mereka tidak akan dihantar ke kawasan pedalaman. Ada yang terpaksa memikirkan berpuluh-puluh alasan untuk tidak ke kawasan seperti ini kerana bimbang tidak mampu untuk hidup di kawasan pedalaman. 

Kita tidak boleh menyalahkan bakal-bakal guru ini kerana ada asasnya kebimbangan mereka. Ini kerana bertugas di luar bandar atau pedalaman memerlukan mental dan fizikal yang tinggi. Kita perlu berkorban segalanya jika berada di luar bandar. Ketiadaan kemudahan asas adalah satu kenyataan yang perlu ditelan ketika melangkah ke kawasan ini. Hanya berbekalkan generator dan air sungai guru perlu segera menyesuaikan diri. Ada sekolah yang tidak mempunyai kemudahan telefon atau jaringan komunikasi. Hendak menelefon keluarga pun terpaksa menggunakan telefon atur atau terpaksa memanjat apa sahaja asalkan dapat menghubungi keluarga. Begitu besar pengorbanan guru di luar bandar.

Tambahan pula, ada kawasan tidak mempunyai kemudahan klinik. Kalau demam pun terpaksa berbekalkan ubat yang dibeli di farmasi. Kalau hendak ke klinik akan memakan masa. Kecuali keadaan kesihatan yang serius maka terpaksa juga menggagahkan diri ke bandar untuk mendapatkan rawatan. Ada kalangan guru yang ke bandar tetapi tidak mempunyai tempat tinggal. Terpaksa pula bermalam di hotel atau rumah tumpangan. Tidak mengira keselamatan diri, guru-guru perempuan yang tidak mempunyai saudara-mara di bandar terpaksa tinggal di hotel terutamanya apabila menghadiri kursus di bandar kerana pihak jabatan tidak menyediakan tempat tinggal. Apatah lagi sekarang ini adalah zaman penjimatan di mana setiap kursus perlu dilakukan di premis pendidikan sendiri. Terpaksalah guru-guru luar bandar mencari alternatif untuk menjimatkan perbelanjaan daripada duduk di hotel selama berhari-hari. 

Apa yang membimbangkan adalah sistem pengangkutan di luar bandar. Terpaksa naik perahu hingga berjam-jam lamanya. Apa yang lebih memeritkan, terpaksa memberanikan diri menahan mana-mana kenderaan yang lalu lalang untuk ke bandar. Tidak mengira akan keselamatan diri, mereka menumpang sesiapa sahaja yang sudi membawa mereka ke bandar. Begitulah peritnya hidup seorang guru di luar bandar. Namun, kini mereka sangat terharu apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500-RM1500 untuk guru-guru yang berkhidmat di luar bandar. Akan tetapi, mereka merasa dipinggirkan apabila mereka terpaksa berjuang pula untuk mendapatkan insentif tersebut kerana sekolah mereka mudah dihubungi menurut pandangan pegawai yang melakukan pemantauan. Mereka sangat kecewa pada masa tersebut memandangkan sekolah mereka tidak mempunyai bekalan elektrik, perlu menaiki perahu, menggunakan jalan tanah merah malah tiada kemudahan telefon. Paling menambahkan beban, elaun perumahan mereka ditarik balik memandangkan mereka tinggal di kuarters sekolah walaupun kuarters tersebut sangat daif dan using. Sudah jatuh, ditimba tangga pula. Biarpun demikian, mereka sangat berbesar hati apabila kerajaan memberikan elaun balik kampung memandangkan harga tambang untuk pulang ke kampung bernilai sebulan gaji.

2.0 Perkembangan Hujah

            Perjalanan pertama bagi seorang guru baru bermula apabila mula ditempatkan di sebuah sekolah yang telah ditempatkan oleh kementerian pelajaran Malaysia (KPM) tidak kira di mana lokasi sekolah tersebut sama asa di pedalaman dan juga di bandar. Rata- rata guru pelatih semenanjung terutamanya yang berada di semester 8 tahun akhir akan mengelak untuk ditempatkan di pedalaman lebih-lebih lagi pedalaman Sabah dan juga Sarawak. Namun begitu, guru yang ditempatkan di padalaman akan diberikan elaun tambahan. Sebagaimana yang telah dipaparkan dalam arkib akhbar berita harian online:

MIRI: Kementerian Pelajaran bercadang menambah dua lagi kategori elaun khas bulanan bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Amir Salleh @ Mohd Salleh. Beliau berkata, kategori baru di bawah Elaun Pedalaman itu akan membabitkan elaun tambahan masing-masing sebanyak RM750 dan RM1,250. "Elaun baru ini dijangka dilaksanakan sedikit masa lagi dan ia tambahan kepada kategori sedia ada, iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian bengkel tiga hari mengenai sekolah kecil, di sini semalam.

       Berdasarkan sebahagian petikan akhbar di atas, guru-guru yang ditempatkan di pedalaman akan diberi elaun pedalaman sekiranya ditempatkan di pedalaman mengikut status jarak dari bandar utama sama ada pedalaman satu, pedalaman dua dan pedalaman tiga. Sememangnya pemberian elaun ini akan memberi kelegaan kepada guru-guru yang ditempatkan dipedalaman kerana dapat membantu menampung mereka dalam meringankan kos perbelanjaan untuk ke luar bandar yang jauh. Pemberian elaun tambahan ini mempunyai positif dan negatifnya.Berita ini pastinya mengundang pelbagai reaksi masyarakat, terutamanya guru-guru dan kakitangan awam yang lain. Ada yang menyambutnya dengan rasa gembira dan bersyukur. Tidak kurang juga yang menyatakan rasa kurang senang. Jadi untuk membincangkan perkara ini, mari kita lihat secara pro dan kontranya.

Bagi guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman, mereka pastinya sangat gembira dan berterima kasih. Jika selama ini sekolah mereka yang sepatutnya menerima elaun pedalaman sebanyak RM500 dan RM1000 mungkin akan menerima elaun RM750 atau RM1250. Pada pandangan saya juga langkah menambah elaun sedia ada sememangnya sangat wajar dan tindakan kementerian (khususnya Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan – BPPDP yang mengkaji tentang pelaksanaan elaun baru ini) patut dipuji. Ini menunjukkan yang kementerian sangat mengambil berat guru-guru yang berkhidmat di pedalaman  serta berusaha merapatkan jurang perbezaan pencapaian pelajar bandar dan luar bandar dengan cara menarik minat lebih ramai guru berkhidmat di kawasan berkenaan.

Positif
Negatif
Meringankan kos guru untuk keluar Bandar

Memberi semangat kepada guru-guru baru yang bakal ditempatkan di padalaman.

Dari segi pendidikan, pendidikan dapat diberikan kepada murid-murid yang tinggal jauh di pedalaman.
Guru berkecenderungan mengejar
material disebabkan elaun yang diberikan.

Penempatan guru baru di pedalaman bukan lagi disebabkan tanggungjawab tetapi lebih ke arah mengejar elaun tambahan.


Dalam Berita Harian Online: 26 April 2010 yang bertajuk Kerajaan kaji naikkan elaun, naik taraf kuarters guru di pedalaman. Antara isi penting kandungan tajuk berita ini adalah:

"Memang saya akui guru-guru ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, sebagai contoh di Kinandut apabila mereka yang keluar membeli barang di Pensiangan kadang-kadang tersadai sehingga dua hari apabila pemandu lupa mengambil mereka dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mengajar manakala kos mereka pergi balik naik bot pula lebih kurang RM500."Memang saya akui guru-guru ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, sebagai contoh di Kinandut apabila mereka yang keluar membeli barang di Pensiangan kadang-kadang tersadai sehingga dua hari apabila pemandu lupa mengambil mereka dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mengajar manakala kos mereka pergi balik naik bot pula lebih kurang RM500"Sebab itu guru-guru di kawasan P3 di beri elaun tambahan RM1,500, P2 RM1,000 dan P1 RM500. Oleh itu kerajaan sedang berusaha untuk mengkaji semula sama ada elaun ini boleh dinaikkan atau pun tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Ahamat@Ahamad Yusop yang mahu tahu langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian bagi memastikan guru-guru di pedalaman Sabah dan Sarawak mendapat kemudahan sewajarnya.
                                                                    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi.

            Melalui isi-isi penting kandungan akhbar ini, pemberian elaun tambahan bukan sahaja dapat meringankan beban guru pedalaman dalam menampung kos ke luar bandar berikutan kos untuk ke luar bandar adalah amat tinggi sebagaimana yang telah diperkatakan dalam akhbar tersebut. Di samping itu, pemberian elaun juga dapat membantu guru dalam mendapatkan alat dan bahan-bahan bantu mengajar yang sememangnya amat terhad di sekolah-sekolah pedalaman yang mana dapat membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah pedalaman. Dalam akhbar Berita Harian yang bertarikh 29 Mei 2009 yang bertajuk Kementerian tambah elaun guru pedalaman telah menyiarkan tentang elaun-elaun tambahan yang bakal dinikmati oleh guru-guru dipedalaman. Antara isi penting kandungan penting di dalam tajuk petikan akhbar tersebut ialah:

Menceritakan pengalaman ketika melawat di kawasan pedalaman di Pahang, Sarawak dan Sabah, baru-baru ini, beliau berkata, ada guru wanita sarat mengandung dan berkhidmat lebih lima tahun.”Guru itu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak bangsa tanpa rasa bosan dan kecewa,” katanya.“Saya juga dapat lihat rumah guru yang begitu uzur dan guru berbantalkan beg untuk tidur,” katanya.Ketika lawatan itu juga, beliau bermalam di rumah panjang di Sarawak, manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Pahang beliau tidur di asrama untuk merasai sendiri suasana di sekolah pedalaman.”Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing-masing.“Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di daerah Lipis, baru-baru ini.
                                                       Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi

3.0 Implikasi

Sememangnya tugas-tugas guru yang mengajar di padalaman amatlah berat kerana bukan sahaja berada dalam tekanan dengan prasarana yang terlalu terhad lebih-lebih lagi dalam menyediakan pengajaran yang berkualiti, namun juga dalam menyediakan suasana yang kondusif supaya murid-murid dipedalam dapat belajar dalam keadaan yag selesa. Elaun tambahan yang diberi dianggap sebagai hadiah kepada meraka kerana usaha yang gigih dan dalam keadaan yang yang terhad bagi menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berualiti dan kondusif.

       Pemberian elaun sememangnya dilihat suatu yang positif jika dilihat dari sudut menampung kos seorang guru, tetapi bagaimana pula jika dilihat dari sudut guru yang telah berkahwin di mana suami dan isteri ditempatkan di tempat yang berlainan, sebagai contoh suami ditempatkan di Sabah atau Sarawak, manakala isteri pula ditempatkan di semenanjung. Pasti hal ini akan memberikan tekanan kepada guru-guru yang terpaksa berhadapan dengan situasi sebegini dan adakah pemberian elaun tambahan membantu menyelesaikan hal-hal jika berlaku kecemasan dan sebagainya. Sememangnya tugas dan tanggungjawab sebagai guru harus dipikul namun bagaimana pula dengan kehidupan guru yang sudah berkeluarga. Mampukah pemberian elaun tambahan dapat meredakan tekanan emosi guru yang tergolong dalam situasi-situasi sebegini? Dalam akhbar utusan Malaysia yang bertarikh 3/1/2011dengan tajuk berita latih lebih banyak anak tempatan sebagai guru. Di antara isi kandungan tajuk akhbar ini adalah :

"Kita tidak boleh sama sekali mempersalahkan guru-guru ini, masalah mereka perlu difahami terutama bagi yang terpaksa berpisah dengan keluarga di Semenanjung."Perpisahan itu bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan kerana perlu ada 'dua dapur' malah emosi turut tertekan sehingga menjejaskan tumpuan," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini."Saya menyokong sepenuhnya bahawa sebagai penjawat awam, semua warga perguruan perlu bersedia untuk dihantar bertugas di mana-mana sahaja."Saya yakin mereka juga faham dengan kewajipan itu namun kita tidak mahu dunia pendidikan menjadi punca kepada permasalahan guru sehingga keluarga mereka berpecah belah."Bukankah pendidikan itu penting untuk memajukan keluarga, masyarakat dan negara? Jika dunia pendidikan itu menyebabkan keluarga warga perguruan kacau-bilau, ia bukan contoh yang baik," tegasnya
                                                                                              
           (William Ghani Bina, Pen. Jaw. Bersama, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak)

            Melalui isi kandungan akhbar ini, maka jelaslah dapat dilihat pemeberian elaun bukan penyelesaian mutlak kepada permasalahan guru yang ditempatkan di pedalaman lebih-lebih lagi guru yang sudah berkeluarga yang terpaksa meninggalkan keluarga dikampung disebabkan tugas yang dipikul. Masalah tekanan emosi dan perpecahan dalam keluarga lebih-lebih lagi guru yang sudah berkeluarga sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan seorang guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru. Jika hal ini berterusan, adakah kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran bagi murid-murid dipedalaman dapat dipertingkatkan meskipun pemberian elaun tambahan telah diberikan?

            Sememangnya perkara sebegini adalah wajar dijadikan isu dalam dunia pendidikan kerana guru adalah kunci untuk lahirnya warganegara yang berilmu,berkualiti dari segi sahsiah dan akhlak dan sebagainya. Persoalan pemberian elaun belum dapat menyelesaikan atau meringankan beban guru secara mutlak dan tetap berhadapan dengan masalah dari segi tekanan emosi dan sebagainya.

Pengenalan kategori elaun tambahan itu diharap dapat mengurangkan kadar pertukaran guru dari sekolah kawasan pedalaman. Insentif tambahan untuk guru itu juga dilihat sebagai satu strategi mencegah prestasi buruk sekolah di kawasan pedalaman. Guru yang sedang memohon  pertukaran semestinya berfikir kembali setelah mendengar berita gembira tersebut kerana dengan adanya elaun tambahan tersebut dapat menambahkan pendapatan tanpa melakukan kerja tambahan. Jika pendapatan mereka dirasakan berbaloi sudah tentu mereka terlalu memikirkan pertukaran ke semenanjung. Sesungguhnya kekerapan pertukaran guru akan menjatuhkan prestasi sekolah kerana tiada guru yang berpengalaman yang tingal untuk menaikkan prestasi sekolah kera kebanyakan telah berpindah. Elaun tambahan dapat ini nampaknya dapat meredakan niat para guru di pedalaman dapat berpindah.

Dengan elaun tambahan ini juga, guru di pedalaman dapat mengumpul wang untuk membeli pengangkutan ke sekolah di pedalaman. Mereka tidak perlu lagi bergantung kepada kenderaan orang lain untuk ke sekolah. Malah tidak perlu lagi risau ketinggalan bot apabila ke pekan untuk membeli barang makanan. Selain pengangkutan, terdapat juga guru yang memerlukan wang bagi membina saluran air bukit sebagai sumber air. Oleh itu guru tidak perlu lagi ke sungai besar untuk menggunakan sumber air kerana sungai besar air sering berwarna merah dan kurang bersih lebih-lebih lagi selepas hujan turun akan menyebabkan tanah bukit memenuhi warna sungai. Guru pedalaman juga turut ingin mendapat sumber elektrik memandangkan di pedalaman elektrik boleh didapati hanya dengan penggunaan generator. Mesin generator juga memerlukan kos yang tinggi. Dengan adanya elaun tambahan, mereka dapat menarik lafaz lega.

4.0 Cadangan dan Rumusan

            Selain penambahan insentif, saya ingin mencadangkan pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ganjaran itu antara bentuk dorongan baru yang sedang dikaji untuk menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan, selain sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka. Beliau bagaimanapun berkata,

“Pengalaman berkhidmat di luar bandar bukan bermakna guru terbabit akan mendapat kenaikan pangkat dan ganjaran lain secara automatik, sebaliknya ia memberi mereka kelebihan dalam pertimbangan yang turut bergantung kepada faktor penting lain, seperti kekosongan jawatan, kekananan dan prestasi perkhidmatan. "Satu kertas kerja yang mencakupi segala aspek menyeluruh mengenai perkhidmatan guru di luar bandar dan pedalaman, termasuk dari segi pemilihan, penempatan, bentuk galakan serta ganjaran sedang pada peringkat akhir penyediaan oleh jawatankuasa yang saya pengerusikan. "Usaha ini dimulakan sejak akhir tahun lalu di mana kita mengambil kira, mempertimbang dan membincangkan secara teliti semua isu berkaitan serta masalah daripada keseluruhan aspek yang dijangka timbul berhubung perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Dengan adanya penambahan elaun tersebut, objektif yang pertama memang akan dapat dicapai terutamanya bagi guru-guru yang muda dan bujang, yang tiada tanggungjawab lain selain dari ibu dan bapa, mungkin juga adik beradik di kampung. Elaun tambahan terbabit akan menambah kemampuan guru-guru ini untuk menyara dan membalas jasa ibu bapa yang telah lama berkorban untuk mereka. Walau bagaimanapun, keberkesanan strategi penambahan elaun bagi mencapai objektif yang kedua amatlah diragui. Ini kerana tiada sebarang mekanisma yang dapat memastikan objektif kedua ini tercapai. Sebagai contoh, tiada “check and balance” atau timbal balik yang dapat mengaitkan antara pencapaian sekolah dan gaji yang diterima. 

Bagi penjawat awam, tanggal 25 setiap bulan gaji mereka akan tetap masuk. Terdapat juga kemungkinan gaji mereka dipercepatkan atas hal yang tertentu seperti perayaan. Guru di pedalaman juga akan menerima gaji mereka pada tarikh yang berkenaan, tidak akan lambat walau sehari. Tidak pernah pula terjadi gaji guru dipedalaman mahupun di bandar dilambatkan atau dipotong jika prestasi sekolah mereka teruk. 

Pasti ada dikalangan guru yang pernah mendengar di antara mereka, terutamanya mereka yang lemah jati diri, berkata:

“… yang penting aku dah ngajar, diorang paham ke, diorang tak paham ke, peduli apa aku, cukup bulan gaji aku masuk …”

Perkara inilah yang paling dikhuatiri akan berlaku. Lebih-lebih lagi dengan perang psikologi yang terpaksa dihadapi oleh guru pedalaman yang sebelumnya disuap dengan dogma “murid pedalaman adalah murid yang paling lemah” sehingga mereka merasakan “tak boleh nak buat apa dah”. Sebelum Kementerian Pelajaran melaksanakan dasar baru ini, berharap kaedah pemberian insentif kepada guru pedalaman diperhalusi. Banyak lagi kaedah yang dapat digunakan untuk menggalakkan guru kekal mengajar di pedalaman dan menjamin prestasi sekolah pedalaman meningkat.

Sebagai contoh, antara kaedah yang voleh digunakan ialah dengan pemberian bonus. Bonus yang diberikan disini adalah berdasarkan pencapaian sekolah pedalaman terbabit. Berbalik kepada dogma yang duitarakan sebelum ini, yang menyatakan murid pedalaman merupakan murid yang paling lemah, dogma atau fahaman ini yang membawa nilai negatif dapat dijadikan pendorong dan ditukar kepada nilai positif (berfikir diluar kotak). Jika kita mengatakan mereka ini murid lemah, bermakna kita dapat membuat banyak perubahan dan pastinya dapat meningkatkan peratusan pencapaian mereka dan lebih tinggi berbanding dengan murid disekolah bandar. Peratusan kenaikan ini kemudiannya boleh dizahirkan sebagai peratusan bonus pada guru disekolah terbabit. Contohnya jika peratusan kelulusan keseluruhan meningkat 30%, maka mereka akan mndapat bonus sebanyak 30% dari jumlah gaji tahunan mereka. Dengan ini, para guru akan memastikan prestasi sekolah mereka akan sentiasa meningkat.

Andai kata pada tahun terbabit, peratusan kelulusan keseluruhannya jatuh 5%, gaji mereka tidak akan ditolak, tetapi nilai 5% peratus tersebut akan menjadi defisit terkumpul dan akan ditolak dari peratusan kelulusan akan datang. Contohnya jika tahun akan datang memperoleh peningkatan 30% kelulusan keseluruhan, maka nilai bonus yang mereka akan dapat hanyalah 25% setelah ditolak defisit yang sebelumnya. Dengan cara ini, sudah pasti setiap sekolah akan cuba memperbaiki keputusan sekolah masing-masing kerana 2 perkara:

1.  Mengejar bonus (hasil titik peluh mereka).
2. Mengelak defisit dari terus bertambah dan mengurangkan bonus yang mereka terima.

Secara tidak langsung, sekiranya ada antara para guru yang mata duitan dan mengejar bonus, pencapaian sekolah tetap terjamin dan jika sekiranya mereka memang mengejar pencapaian, pemberian bonus seperti ini seperti menghargai jasa yang mereka taburkan demi anak bangsa. Inilah yang dinamakan serampang dua mata. Pembayaran bonus seperti ini akan lebih dirasai jika mereka mengajar di sekolah pedalaman kerana peratusan kenaikan pasti lebih banyak di sekolah-sekolah terbabit dan pastinya, apabila mereka mendengar para guru dipedalaman mendapat bonus besar kerana peningkatan pencapaian sekolah yang tinggi, pasti mereka akan memilih untuk mengajar di pedalaman.

Sebagai rumusan, pada saya pemberian 2 lagi kategori elaun ini memang sangat wajar. Sekurang-kurangnya nasib guru-guru di pedalaman Malaysia terbela. Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu sedar, jika merapat jurang perbezaan pendidikan antara bandar dan luar bandar dijadikan matlamat, tumpuan perlu diberikan secara menyeluruh. Saya tidak nafikan pengurusan sumber manusia itu penting, namun faktor-faktor fizikal juga sangat penting. Ada sesetengah orang (guru) bermotivasi bukan atas dorongan kewangan semata-mata. Mereka tidak pernah berkira berapa jumlah elaun yang mereka terima, asalkan kemudahan yang disediakan untuk mereka dan para pelajar mencukupi dan mengikut yang sepatutnya. Jadi janganlah  lupa pada tuntutan tersebut. Kita perlu belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini. 


0 comments: